Archive for January, 2011

January 28, 2011

PATI Bawa Penyakit Malaria ke Malaysia

Alor Setar, Kedah-

Badan bukan kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi YB Dr. Ismail Salleh menjelaskan bahawa Pendatang Tanpa Izin (PATI) adalah dikesan sebagai pembawa yang menyebabkan penularan parasit demam Malaria kepada rakyat di negara ini.

Beliau berkata demikian berikutan menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Kuala Ketil YB Md Zuki Yusof mengenai tahap Malaria, Denggi dan Leptospirosis di Kedah dalam pertanyaan mulut pada Sidang Dewan baru-baru ini.

Jelas beliau lagi, bagi tahun 2010 sebanyak 100 kes demam Malaria dilaporkan, 65 daripadanya ialah berbangsa Myammar dan Thailand. Selebihnya adalah berbangsa Indonesia, India, Nepal, Pakistan, Yaman dan rakyat tempatan.

“Mengikut laporan, penyakit ini telah menyebabkan empat kematian dari bangsa Mymmar dengan tiga lelaki dan seorang perempuan dalam lingkungan usia 22 hingga 37 tahun.

“Masalah penyakit ini dibawa oleh PATI yang masuk secara haram bersama kemasukan parasit Malaria dalam tubuh badannya serta berjangkit melalui nyamuk kepada orang lain dan rakyat tempatan.” Katanya.

Tambanhnya lagi, untuk rakyat tempatan dari segi penyakit Malaria adalah satu penyakit lama yang sudah pupus tapi lima tahun terakhir kembali menjadi masalah negara yang perlu diberi perhatian serius.

Beliau juga menjelaskan melalui statistik ini kita melihat penyakit ini muncul dan menunjukkan peningkatan yang disebabkan kemasukan PATI tanpa kawalan ketat daripada pihak bertanggungjawab.

YB Dr. Ismail juga memberitahu, sehingga 16 Oktober tahun 2010 jumlah kes sebanyak 100 dilaporkan, berbanding 47 kes tempoh yang sama pada tahun 2009.

Peningkatan sebanyak 53 kes iaitu 113 peratus adalah angka yang membimbangkan. Daerah Kulim tertinggi sebanyak 49 kes,  Bandar Baharu 13, Sik 12, dan Kuala Muda sebanyak sembilan kes. Ini adalah empat daerah utama yang mencatat kes demam Malaria.

Bagi penyakit Denggi pula, jumlah keseluruhan sehingga 16 Oktober 2010 sebanyak 680 kes, berbanding tahun 2009 sebanyak 640 kes di Daerah Kuala Muda mencatat bilangan tertinggi sebanyak 215 kes diikuti Daerah Kota Setar 138, Kulim 70, dan Padang Terap sebanyak 69 kes.

Jumlah ini menunjukkan Kedah mencatat kematian tertinggi sebanyak 3 nyawa berbanding tahun 2009 dan 2008, sebanyak 643 kes melebihi daripada sasaran. Kematian yang berlaku di Kedah antara tertinggi di Malaysia adalah 0.51 iaitu 5 daripada 1000 orang.

Bagi penyakit Leptospirosis pula, secara umumnya ini adalah penyakit berjangkit melalui kencing tikus, namun haiwan lain seperti anjing, kucing dan babi juga antara yang boleh dijadikan penyebabnya.

Ianya sejenis penyakit disebabkan oleh sejenis bakteria yang dinamakan Spirochete (lepstospira) iaitu penyakit zoonatik berjangkit melalui kontek atau sentuhan dengan tanah atau air yang dicemari oleh najis atau kencing haiwan berkenaan.

Sehingga 23 Oktober 2010 sebanyak 167 kes lepstospirosis dilaporkan dengan tiga kematian di Kedah.

January 27, 2011

Anuar Manan Rampas Jersi Putih

Butterworth, Pulau Pinang-

Anuar Manan kembali mempamerkan kayuhan bertenaga, sekaligus menaiki podium pada peringkat kedua Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 baru-baru ini di Butterworth.

Walaupun hanya menduduki tempat ketiga pada perlumbaan sejauh 145.4 kilometer dari Kangar ke Butterworth, beliau yang juga jaguh pecut negara 2010 masih boleh berbangga kerana telah berjaya menyarung Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia.

Pelumba pasukan Terengganu itu berjaya mencatat masa 3 jam 26 minit 26 saat untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang pendahulu keseluruhan dan pemenang Jersi Kuning, Andrea Guardini dari Farnese Vini-Neri Sottoli (FAR).

Sehingga kini, Anuar menduduki tempat kedua dalam kedudukan individu keseluruhan (Jersi Kuning) di belakang Guardini.

Manakala dalam perebutan Jersi Biru, Anuar berjaya mengumpul 31 mata, berbanding dua mata di belakang Guardini.

Bagi Anuar, kejayaan merampas Jersi Putih daripada Park Sung-baek dianggap sebagai satu bonus selepas pelumba pasukan kebangsaan Korea Selatan itu terbabit dalam kemalangan kira-kira satu kilometer menuju ke garisan penamat.

“Sasaran awal saya adalah untuk meraih Jersi Biru (Raja Pecut) tetapi dengan kejayaan menyarung Jersi Putih ini sudah dikira baik kerana ia bukan sasaran sebenar saya.

“Saya gembira kerana dapat menyarung Jersi Putih selepas saya gagal melakukannya pada perlumbaan peringkat pertama di Langkawi, Kedah.

“Kira-kira dua kilometer terakhir di Butterworth, saya cuba untuk berada dalam kelompok hadapan tetapi saya hilang tenaga sehinga gagal memintas pelumba yang berada di depan saya.

“Ketika itu, saya terpaksa berusaha bersungguh-sungguh kerana tidak ada bantuan daripada rakan-rakan sepasukan yang lain.

“Saya tersangkut dengan pelumba-pelumba lawan dan hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

“Apa pun, saya tetap gembira dan bersyukur menduduki tempat ketiga. Saya akan cuba lagi untuk memperbaiki prestasi saya pada perlumbaan seterusnya.” Kata Anuar pada sidang media di Butterworth, dekat Pulau Pinang.

January 23, 2011

‘Program Bicara Tokoh’ Mengungkap Masalah Melayu dan Islam

Alor Setar, Kedah-

Konflik yang merangkumi permasalahan masyarakat Melayu dan Islam dalam negara menjadi topik hangat diperkatakan dalam ‘ Program Bicara Tokoh’ yang telah diadakan di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) pada 19 Januari baru-baru ini.

Ahli panel yang menampilkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Wadah Pencerdasan Ummat iaitu Dr.Siddiq Fadzil memperlihatkan bagaimana kupasan isu yang membabitkan Melayu dan Islam itu diperkatakan.

Dr.Siddiq dalam pembentangannya menyatakan orang Melayu mempunyai kesedaran tinggi tentang maruah dan kedudukan mereka tetapi kurang diberi perhatian menyebabkan ianya kini sudah berada pada tahap yang memerlukan maruah ini dimartabat serta dinobatkan semula.

“Sebenarnya orang Melayu mempunyai pantang larang terutama dalam peradaban dan tatasusila. Ini termasuklah yang berkaitan dengan hak dan kedudukan bangsa yang telah sekian lama menjadi tunggak kepada perjuangan mempertahankan negara sejak zaman sebelum kehadiran penjajah lagi.

“Melayu adalah sebuah bangsa yang tahu malu. Kita menutup malu dengan mempertahankan maruah. Kita tidak mampu melihat bangsa dirobek-robek oleh anasir yang entah dari mana asal usulnya.

“Islam pula adalah sebuah agama yang memberi kebebasan. Membebaskan diri dari kegelapan kearah kecerahan. Keadilan yang menjadi pegangan untuk diterapkan kepada semua penganutnya. Keadilan pula adalah sebagai ‘ makassiq’ yang amat penting, ” ujarnya lagi.

Sementara itu Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyatakan kebebasan itu diletakkan bersama-sama dengan keadilan. Prinsip ‘ makassiq’ yang diperkatakan sememangnya wujud keadilan dalam Islam.

Ia adalah realiti yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Perjuangan yang berlandaskan kepada keadilan boleh diterima pakai oleh Islam dan juga bukan Islam. Malah ia merupakan tuntutan dalam agama Islam yang amat suci.

“Namun begitu dalam negara Malaysia, apa yang diamalkan oleh pemerintah sejak mencapai kemerdekaan negara lebih dari 53 tahun kebebasan dan keadilan tidak menjadi teras kepada perjuangan dalam sistem pemerintahan yang ada.

“Kebebasan bersuara yang dibenarkan dalam Islam tidak dipraktikkan oleh pemerintah. Akta seperti ISA akan digunakan bagi mengekang kebebasan bersuara yang dihadkan kepada kumpulan tertentu sahaja. Rasuah dan kerakusan kuasa dengan menyalahgunakannya menjadi lumrah dan amalan.

“Kes fitnah tentang liwat saya dipohon untuk dibicarakan ke Mahkamah Syariah sesuai dengan kehendak agama. Tetapi diketepikan oleh pemerintah yang mendakwa Islam menjadi pegangan mereka. Akhirnya Mahkamah Syariah diperlekehkan apabila undang-undang yang melibatkan kes seperti ini tidak mahu diguna pakai oleh kerajaan yang memerintah, ” katanya lagi.

Kata Anwar lagi, apabila penolakan ini begitu ketara, maka pada pandangan bukan Islam apakah sebenarnya fungsi Mahkamah Syariah. Apakah ianya hanya untuk nikah-kahwin, cerai-berai, dakwaan mengajar tanpa tauliah, syiah dan ajaran sesat sahaja.

“Khalwat boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah. Tapi liwat tidak boleh. Persepsi ini membawa satu pandangan serong terhadap mahkamah ini yang sepatutnya melaksanakan amanah secara adil dan saksama. ” tambahnya lagi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan dalam kupasannya sempat menyentuh mengenai sistem pemerintahan yang menjadi teras kepada perjuangan Kerajaan Negeri Kedah sejak mulai menerajui kepimpinan negeri.

Katanya, Keadilan adalah tiang dan tunggak bagi undang-undang. Syariah sememangnya mempunyai keadilan.Manakala tauhid dan kepercayaan merupakan tiang bagi akidah umat Islam.

Oleh kerana itu penyalahgunaan perkataan syariah itu amat berleluasa kini.

“Mereka bercakap mengenai syariah dan hukumnya, tetapi melakukan kezaliman dalam pentadbiran, merampas hak dan harta milik rakyat, kekayaan negara dibolot, kronisme berleluasa, skandal dan korupsi menjadi lumrah dan kebiasaan.

“Dalam konteks ini sistem pentadbiran yang harus ada ialah menjadikan Islam itu sebagai asas kepada perjuangan dalam segala aspek. Ini termasuklah dalam bidang sosial, ekonomi, politik  dan seumpamanya, ” tegasnya lagi.

Program ‘ Bicara Tokoh ‘ yang dipengerusikan oleh Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Hamid ini turut dihadiri oleh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri  Islam dan bukan Islam yang mendokong perjuangan Pakatan Rakyat serta para ilmuan, cendekiawan serta pelajar KUIN dari dalam dan luar negara.

Dalam program ini juga soal-jawab oleh peserta telah berjaya dijawab oleh ahli panel Anwar, Azizan dan Dr.Siddiq.

January 22, 2011

Kedah Tidak Sekat Kebebasan Suara Pelajar

Alor Setar, Kedah-

Kerajaan Negeri Kedah tidak akan menyekat kebebasan bersuara di kalangan pelajar sekiranya ia melalui saluran yang betul dan mengikut prosedur.

Demikian yang dinyatakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak kepada media sebagai mengulas perhimpunan aman yang telah diadakan oleh pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN), dekat Alor Setar baru-baru ini.

Jelas beliau, tindakan para pelajar KUIN membuat demonstrasi aman tersebut adalah hak mereka untuk menuntut supaya beberapa isu yang bersabit dengan mereka diberi perhatian dan membuat penambahbaikan segera.

“Sehingga ini belum ada mana-mana negeri pun dalam negara ini yang memberi peluang kepada pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mengadakan demonstrasi dalam kampus seperti yang telah dilakukan oleh pelajar KUIN.

“Ini membuktikan sikap keterbukaan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kedah bagi mendengar luahan rasa pelajar.

“Dengan adanya demonstrasi tersebut, kita dapat lihat masalah yang selama ini membelenggu para pelajar.

“Ini suatu pengalaman yang baik kepada para pelajar untuk tampil berani menzahirkan padangan mereka supaya kerajaan negeri dapat membantu menangani masalah yang mereka hadapi.

“Perkara ini juga dapat membuktikan bahawa pelajar KUIN adalah bersikap pro-aktif”. Katanya.

Baru-baru ini, pelajar KUIN telah mengadakan bantahan secara aman untuk menuntut supaya masalah yang dihadapi mereka diberi perhatian dan diambil tindakan segera oleh kerajaan negeri.

Antara masalah yang mereka hadapi ialah meminta kemudahan pembelajaran yang lengkap, kenaikan yuran pengajian, perkhimatan pengangkutan yang tidak memuaskan dan beberapa masalah lain yang melibatkan mereka.

Kenaikan mendadak yang pelajar KUIN rasai ialah kenaikan yuran pengajian sebanyak RM100 per jam kredit berbanding dahulu hanya RM48 hingga RM50 per jam kredit.

January 21, 2011

Program Mesra Rakyat diSungai Petani

SUNGAI PETAN

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada program mesra rakyat di Taman Sri Pinang, Sungai Petani.

January 18, 2011

Pengeluar ‘Dodol Mustaqim’ Sejak 1998

Kulim, Kedah –

Bak kata pepatah berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Inilah yang menjadi satu pegangan semangat kepada Roslin Sulaiman seorang pengusaha dodol yang telah berjaya mengembangkan produk dodol beliau dengan bermodalkan sebanyak RM20 ringgit sahaja.

Dengan modal sekecil itu, Roslin telah membeli bahan-bahan yang diperlukan bagi membuat dodol ketika masih belajar dari orang tuanya di Lorong Kubor, Butterworth, Seberang Perai.

Hasil dari kesabaran yang ada maka sedikit demi sedikit, beliau telah berjaya mendapat ilmu membuat dodol dari kedua orang tuanya.

Kini Roslin yang telah menjalankan perusahaan menghasilkan dodol sejak tahun 1998 lagi telah berjaya menempa nama dengan ‘Dodol Mustaqim’ produk asli beliau.

Beliau yang ditemui di Taman Mutiara, Mahang, Kulim berkata, pada peringkat permulaan tiada bantuan dari mana-mana pihak yang diterima.

“Semuanya adalah hasil dari wang simpanan yang ada.Berkat dari amalan berjimat cermat maka kini saya telah berjaya mempunyai sebuah kilang kecil dengan bantuan lima orang pekerja.

“Bukan mudah untuk melakukannya kerana ia memerlukan kesabaran.Saya terpaksa mencipta mesin membuat dodol dengan sendiri.Akhirnya setelah berjaya mencipta mesin ini pengeluaran saya bertambah apabila adanya permintaan dari pihak-pihak yang berminat.

“Kini saya sudah mempunyai empat buah mesin untuk membuat dodol yang direka oleh saya sendiri.”tambahnya lagi.

Menurut beliau lagi bagi satu kawah dodol yang dihasilkan ia mampu untuk mengeluarkan 58 kilo dodol yang dibungkus seberat 250 gram.Sebanyak 250 bungkus pula dapat dihasilkan dari satu kawah dodol yang dikacau.

Antara ramuan penting yang menjadi intipati kepada dodol yang dihasilkan ialah tepung pulut,gula merah, gula putih, santan dan kelapa.

Beliau juga tidak menghadapi masalah dari segi pemasaran kerana sudah mempunyai pembeli tetap yang akan mendapatkan bahan dari kilang beliau.

“Usaha juga telah dibuat untuk memasuki pasaraya besar namun begitu adalah sukar kerana tahap ketahanan bagi produk dodol ini hanya dapat bertahan selama satu bulan setengah sahaja.

“Selepas itu produk ini akan rosak.Oleh kerana itu maka saya sedang berusaha untuk mencari jalan untuk mengenal pasti cara bagi menghasilkan produk yang dapat tahan lama jika ia dipasarkan ke pasaraya.

“ujarnya lagi. Roslin dengan dibantu oleh isterinya Rashidah Md Desa,44, berkata selepas 5 tahun menjalankan perusahaan ini barulah mereka mendapat sokongan dari KEDA(Lembaga Kemajuan Kedah)yang berupakan mesin santan dan peti sejuk.

Namun begitu beliau melahirkan rasa syukur kerana dengan berkat kesabaran yang ada, maka ‘Dodol Mustaqim’ telah berjaya mendapat pasaran di sekitar kawasan utara.

January 16, 2011

UMNO Desak PR Tambah Bajet Kebajikan

Nibong Tebal, Pulau Pinang-

Datuk Zainal Abidin Osman mendesak agar kerajaan Negeri Pulau Pinang menambah bajet kebajikan selaras dengan slogan pakatan pembangkang yang mengamalkan pentadbiran negeri berkebajikan.

Beliau yang juga pengerusi badan perhubungan UMNO Pulau Pinang berkata, kerajaan negeri hanya memperuntukkan RM3.5 juta bagi perbelanjaan kebajikan sedangkan kerajaan persekutuan memperuntukkan sebanyak RM60.3 juta.

“Walaupun Pulau Pinang di tadbir oleh Pakatan Rakyat (PR), kerajaan persekutuan tetap menjaga kebajikan rakyat Pulau Pinang jauh lebih baik dari PR. Ini terbukti hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menjana kebajikan rakyat bertepatan dengan konsep rakyat di dahulukan.

“Sekiranya PR menitikberatkan kebjikan rakyat Pulau Pinang, tingkatkan peruntukkan bajet kebajikan untuk rakyat”. Katanya yang juga Ketua UMNO bahagian Nibong Tebal.

Beliau turut memaklumkan bahawa Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang telah menubuhkan Biro Pemikiran dan Golongan Profesional, dan Biro Pengundi Muda dan NGO. Dua biro ini di tubuhkan sebagai pendekatan baru parti untuk mendekati rakyat agar menyokong UMNO dan BN semula.

“Penubuhan dua biro ini diharapkan dapat menjana idea-idea baru yang bersesuaian dengan kehendak rakyat agar dapat menyokong UMNO dan BN semula.” Katanya.

January 13, 2011

Unit Veterina MPSP Berjaya Tembak Anjing Liar

Mak Mandin, Butterworth-

Seramai 7 orang anggota dari unit Veterina Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah terlibat dalam satu operasi membanteras aktiviti anjing liar disekitar kawasan perumahan Taman Sukaria, dekat Mak Mandin.

Md. Jamil, Pegawai Unit Veterina ketika ditemui di tempat kejadian berkata, mereka bertindak atas aduan orang ramai mengenai terdapatnya anjing-anjing liar di sekitar kawasan perumahan yang mengancam keselamatan penduduk.

“Daripada hasil laporan yang saya terima, terdapat bilangan anjing liar yang amat banyak dikawasan ini. Setibanya kami (Anggota Unit Veterina) di kawasan perumahan ini, didapati pemilik anjing liar ini cuba menyembunyikan anjing-anjing mereka disebuah gudang besar yang menjadi tempat memunggah barang untuk diagih kepada syarikat lain.

“Mereka turut tidak membenarkan kami menjalankan tugas untuk membuat pemeriksaan di dalam gudang terbabit bagi mengesahkan tiada anjing liar di kawasan ini.

“Hasil kerjasama anggota unit veterina dan penduduk perumahan, sebanyak dua ekor anjing liar yang sedang berkeliaran telah berjaya ditembak mati ditempat kejadian.

“Sering kali pihak kami menerima aduan daripada orang ramai mengenai anjing liar yang sering berkeliaran ini.

“Secara khususnya, membanteras aktiviti anjing liar ini sudah menjadi kewajipan kami untuk menjaga keselamatan penduduk kerana anjing liar ini mampu meragut nyawa serta mencederakan orang ramai.” Katanya.

Seorang penduduk yang enggan dikenali turut menjelaskan bahawa, anjing-anjing liar ini sering berkeliaran sekitar jam 10 pagi hingga satu petang, serta menjadi lebih agresif sekitar jam 5 petang hingga 8 malam.

Adakalanya anjing-anjing ini amat bising pada waktu tengah malam ketika semua orang tengah tidur.

“Sudah banyak kali anjing-anjing liar ini cuba mengejar penduduk yang sedang bejalan dan bersiar-siar di persekitaran kawasan perumahan pada waktu pagi dan petang.

“Sering kali juga, kanak-kanak turut menjadi mangsa keadaan anjing liar yang dikejar hingga terjatuh dari basikal yang ditunggang semasa pulang dari sekolah.

“Hal ini, membuatkan kanak-kanak ini cedera parah ditangan, kaki, muka dan seluruh anggota badan.

“Saya merayu agar pihak MPSP segera menangkap anjing-anjing liar ini habis-habisan kerana ia menjejaskan keselamatan penduduk.

Sudah banyak kali gudang ini diserbu atas aduan orang ramai, namun pemilik gudang ini tidak pernah serik.” Jelasnya.

January 10, 2011

Jangan ‘Untung Politik’ Waktu Rakyat Susah

Alor Mengkudu, Kedah-

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB Dr. Ismail salleh mengingatkan supaya jangan ada mana-mana pihak mengambil kesempatan politik di waktu ditimpa musibah, seperti banjir yang melanda Kedah baru-baru ini.

Beliau berucap dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada mangsa banjir di Dewan UMNO Kampung Pulau Binjal.

Beliau yang juga ADUN Alor Mengkudu berkata, apa-apa perbezaan sepatutnya dilupakan ketika ini dan semua pihak hendaklah saling membantu, bukan menunding jari menyalahkan pihak lain.

“Sepanjang musim banjir ini kami turun membantu menghulurkan sumbangan kepada semua mangsa banjir tanpa mengambilkira fahaman politik masing-masing.” Katanya.

Beliau berharap suasana harmoni seperti ini dapat diteruskan di sepanjang masa bagi memudahkan Kerajaan Negeri melaksanakan misi kesejahteraan rakyat.

Disamping itu, Ahli JKKKP Pulau Binjal, Zulkifli Yaakob mengucapkan terima kasih kepada Dr. Ismail yang membantu mangsa banjir khususnya di Pulau Binjal.

“YB. Dr. Ismail sendiri datang membawa makanan sewaktu mula-mula penduduk berpindah ke penempatan ini.” Terangnya.

Sehingga banjir berakhir, Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Alor Mengkudu telah menghulurkan sumbangan kepada kira-kira 2400 keluarga dalam kawasan DUN ini.

PKWR Alor Mengkudu telah membuka bilik gerakan banjir di hari pertama banjir di Kedah mulai melanda iaitu pada 2 November 2010.

Objektif khusus PKWR ialah untuk membantu membuka sebahagian besar pusat penempatan banjir, memantau bekalan, memberi sumbangan dan mengagihkan sumbangan dari pihak luar dan dalaman.

January 7, 2011

Bahasa Kebangsaan Untuk Urusan Rasmi

Alor Setar-

Menteri Besar Kedah, YAB Ustaz Azizan Abdul Razak meminta pihak kementerian, Jabatan dan agensi kerajaan menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam semua urusan dan majlis rasmi, sepanjang masa.

“Perkara ini selaras dengan Surat Pekeliling Am Bilangan 1 tahun 2006, iaitu langkah-langkah memperkasakan penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam perkhidmatan awam.” Jelas beliau semasa merasmikan Bulan Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah yang bertemakan Satu Bangsa, Satu Bahasa, dan Satuu Negara.

Beliau menyeru agar pihak berkuasa tempatan memastikan paparan dan peragaan seperti iklan, papan tanda, nama jalan, dan lain-lain mengutamakan penggunaan Bahasa Kebangsaan serta persekitaran yang memaparkan latar dan panorama yang bercitrakan Malaysia.

Katanya lagi, ia selaras dengan Undang-undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan seperti dalam Pekeliling Jabatan Kerajaan Tempatan bertarikh 11 Januari 2005.

Beliau juga meminta kementerian yang berkaitan memastikan semua syarikat berkaitan kerajaan, institusi perbankan, kewangan dan insurans menggunakan Bahasa Kebangsaan, selain bahasa inggeris dalam dokumen rasmi, papan tanda dan borang demi kepentingan masyarakat untuk mendapatkan perkhidmatan.

“Ini sebagai tanda dan bukti sokongan kita terhadap kempen ini.” katanya.