August 4, 2011

SYM Pengeluar Motorsikal ‘Mesra Alam’

Bukit Mertajam-

Industri permotoran memainkan peranan yang sangat penting dalam ekonomi negara bagi menyediakan produk motosikal yang berkualiti kepada pengguna khususnya di Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan membangun.

Sebagai sebuah syarikat permotoran yang masih baru bertapak di Malaysia sejak empat tahun yang lalu, Sanyang Motor (SYM) sentiasa mengambil berat terhadap produk yang dibeli pengguna selain menyediakan pelbagai tajaan kepada Sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), dan sebagainya untuk mengadakan aktiviti.

SYM merupakan jenama motosikal yang tidak asing lagi setelah 61 tahun penubuhannya di Taiwan dengan pelbagai produk khususnya motosikal skuter.

Pengurus Besar SYM, Pallmon Neoh Kok Boon, ketika ditemui berkata syarikatnya kini mempunyai 160 pengedar motosikal SYM diseluruh Malaysia. Setelah sekian lama penubuhannya, SYM mempunyai wakil pengedar motosikal terbesar di Pulau Pinang iaitu Mega Fortune yang terletak berhampiran Pasaraya Mega Mall, dekat Prai.

“Sebagai seorang Pengurus, saya sentiasa mengutamakan kualiti produk dan mementingkan tanggungjawab pekerja. Disamping itu, saya sering mengadakan perbincangan bersama pekerja lain agar dapat bertukar pendapat dan cadangan untuk membuat penambahbaikan terhadap produk motosikal SYM di masa depan.

“Rutin harian yang dijalankan ini secara tidak langsung juga dapat mengetahui setiap masalah yag dihadapi pekerja.

“Justeru itu, saya akan pastikan setiap pembeli motosikal SYM akan mendapat keuntungan apabila menggunakannya. Contohnya, SYM akan memberikan perkhidmatan ‘service’ motosikal secara percuma selama setahun.

“Penggunaan teknologi pemasangan motosikal secara ‘semi-auto’ telah menjayakan SYM dibawah Syarikat MForce Bike Holdings Sdn Bhd untuk mengeluarkan lima ratus buah motosikal sebulan.

“Sehingga kini, SYM telah berjaya mengeluarkan lima jenis motosikal yang mempunyai kapasiti engine yang berbeza sesuai di tunggang untuk apa jua jenis situasi dan keadaan. Antaranya ialah Bonus110, Symphony SR150, VTS200, Symphony Evo250i dan yang terbaru skuter Mio100 yang menggabungkan ciri-ciri motosikal klasik dan moden.” Jelasnya.

CEO Syarikat SYM, Tan Lean Heah, ketika ditemui turut menjelaskan bahawa motosikal SYM adalah berkonsepkan mesra alam dan mengutamakan penjimatan minyak petrol. Buktinya produk terbaru SYM Mio100 hanya menggunakan empat sen untuk perjalanan sejauh satu kilometer.

“Setiap motosikal skuter SYM amat selamat digunakan kerana ia memenuhi ciri-ciri keselamatan pengguna yang dapat mengelakkan kejadian ragut, rompak, dan kemalangan ngeri yang mampu meragut nyawa penunggang dan pembonceng motosikal.

“Pengguna yang gemar menggunakan motosikal jenis moped juga harus mencuba produk terbaru dari SYM model Bonus110 kerana ia mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding motosikal jenama lain.” Katanya.

Beliau mula melibatkan diri dalam bidang permotoran sejak berusia 15 tahun lagi ketika masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulim, dekat Kedah. Setelah berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara, beliau tidak melepaskan peluang untuk menerokai bidang permotoran SYM pula yang telah sekian lama ditubuhkan dekat Taiwan.

Tegas beliau lagi, kelebihan motosikal SYM bukan sahaja mampu menjimatkan minyak petrol malah mempunyai ciri-ciri keselamatan yang baik untuk setiap penunggang motosikal.

“Kelebihan yang ada pada motosikal SYM ini membuatkan pengguna tidak teragak-agak untuk membelinya sekaligus mencatatkan rekod penjualan motosikal SYM lebih dua ratus buah motosikal sebulan.

“Saya yakin seratus peratus sesiapa yang menggunakan motosikal SYM tidak akan berasa kecewa dan menyesal menggunakannya malah akan berpuas hati dengan produk dan perkhidmatan yang diberikan.” Ujarnya.

June 20, 2011

Mingguan Warta Perdana Mohon Maaf

Pulau Pinang-

Wartawan Mingguan Warta Perdana mewakili Pengarang Mingguan Warta Perdana memohon jutaan kemaafan diatas kesilapan tajuk berita yang telah dilakukan oleh pengarang (editor) terhadap Kelab SMBC.

Perkara ini berlaku kerana sikap pengarang yang terlampau pentingkan nilai keuntungan dan menarik minat pembaca akhbar MWP. Disampng itu, MWP juga telah menyiarkan berita SMBC secara percuma tanpa meminta sebarang bayaran.

Gimik atau tajuk utama “MAT REMPIT CURAH BAKTI” adalah tajuk yang diberikan oleh pengarang sendiri untuk menarik minat pembaca malah bukan untuk merendahkan martabat atau memperlehkehkan aktiviti yang telah dilakukan oleh Kelab SMBC.

Isu atau masalah ini tidak melibatkan WARTAWAN MWP kerana beliau hanya mengarang berita dan menyediakan gambar yang menarik.

Wartawan MWP hanya menulis berita atas jemputan wakil ahli Kelab SMBC sebelum berkonvoi ke Cameron Highland pada bulan Februari yang lalu.

Sebarang ungkapan caci, maki dan kekasaran terlampau yang dilontarkan oleh sebahagian ahli-ahli Kelab SBMC kepada WARTAWAN MWP di FACEBOOK sememangnya tidak wajar dan bertindak tanpa usul periksa.

Wartawan MWP terkilan dan kecewa dengan sikap sebahagian ahli-ahli SBMC yang mengeluarkan ungkapan berikut yang boleh menggugat kerja sebagai Wartawan.

“Saya (wartawan MWP) sebagai seorang yang beragama Islam memohon kemaafan sekiranya telah melakukan kesilapan terhadap Kelab SMBC.

“TERIMA KASIH kerana sudi menjemput saya untuk liputan tempoh hari di Petronas Auto City dekat Juru.

“Kerjasama, layanan yang baik dan ucapan yang sopan dari ahli-ahli Kelab SMBC saya akhiri dengan jutaan terima kasih.

“Sekiranya Kelab SMBC tidak mahu terlibat lagi dengan bidang penyiaran akhbar, perkara itu tidak menjadi masalah bagi saya kerana saya hanya mengarang berita.

“Sebagai peringatan, saya tidak terlibat dalam penyedian tajuk ‘MAT REMPIT’ di akhbar MWP. Saya hanya mengarang berita seperti yang telah saya terangkan kepada Roslee (TV3) dan Pallmon Neh Kok Boon (General Manager SYM).”

June 18, 2011

SYM Pengeluar Topi Keledar Jenama Laser

24TAHUN DIPASARAN GUNA KAEDAH ‘WATER PASTE

Bukit Mertajam-

Pengeluaran topi keledar jenama Laser sejak 24 tahun yang lalu tidak asing lagi dengan corak dan bentuk yang menarik minat golongan muda untuk memakainya selain menjaga keselamatan ketika menunggang motosikal.

Ketua kawalan pengeluaran produk, Yeoh Han Kiang ketika ditemui berkata, syarikat milik Sanyang Motor (SYM) sejak 1987 selalunya mengeluarkan 22 ribu buah topi keledar dalam masa sebulan sebelum dijual di pasaran seluruh Malaysia.

“Topi keledar jenama Laser ini selalunya mendapat permintaan paling tertinggi di negeri Kedah dan Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, para pengguna lebih gemarkan topi keledar jenis LS2. Manakala di Kedah pula, pengguna lebih gemar jenis L200.

“Hasil sambutan dan permintaan yang tinggi dari pengguna, kami telah berjaya menjual lebih 8000 buah topi keledar setiap bulan.

“Topi keledar keluaran SYM sememangnya amat berkualiti seperti motosikal SYM yang terbukti kualiti dan harga yang berpatutan.

“Keistimewaan topi keledar Laser adalah kami menggunakan kaedah ‘water paste’ iaitu pelekat (sticker) yang digunakan akan masuk kedalam warna cat sehingga tidak boleh ditanggalkan semula.

“Ini adalah keistimewaan topi keledar yang digunakan sejak 24tahun yang lalu dan tidak diketahui orang ramai.

“Bagi memastikan nyawa penunggang motosikal sentiasa selamat, SYM telah memberi 6000 topi keledar jenis S18 secara percuma kepada orang ramai melalui kempen yang dilakukan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR)  pada tahun lepas.” Katanya semasa ditemui di kilang pembuatan topi keledar dan pemasangan motosikal SYM dekat Bukit Mertajam.

Tambahnya lagi, warna merah jambu atau pink tidak lagi digemari oleh kaum wanita pada masa kini.

“Golongan remaja perempuan zaman sekarang tidak lagi gemar topi keledar berwarna pink kerana ia seolah-olah menyerupai warna kegemaran kanak-kanak.

“Oleh kerana itu, kami cuba mengeluarkan topi keledar bercorak rama-rama dan warna kontra atau campuran bagi menarik minat golongan kaum wanita untuk membeli topi keledar jenama Laser.

“Orang ramai boleh dapatkan topi keledar jenama Laser keluaran SYM disetiap kedai motosikal dengan harga RM48 sehingga RM1500 sahaja.

“Bagi pengguna yang membeli topi keledar yang berharga RM500 dan keatas akan mendapat jaminan produk selama setahun. Ini adalah kelebihan topi keledar jenama Laser berbanding topi keledar yang lain.

“Sekiranya topi keledar mengalami kerosakan atau pecah dalam masa setahun, mereka boleh tukar dengan topi keledar yang baru.

“Bagi kelab-kelab permotoran yang ingin membuat tempahan topi keledar juga dibenarkan berbuat demikian dengan berjumpa wakil-wakil pengedar motosikal SYM di seluruh Malaysia.

“Kami memberi kebebasan kepada pengguna agar memilih sendiri corak dan jenis topi keledar yang digemari agar pengguna berpuas hati dengan perkhidmatan dan tawaran yang diberikan oleh SYM.” Katanya.

Penyelia kilang, Tan Kim Cheng ketika ditemui turut menjelaskan bahawa topi keledar keluaran SYM yang menggunakan jenama Laser amat berkualiti.

“Tiada sebarang kerosakan pada topi keledar jenama Laser ini sepanjang tempoh tiga tahun saya bekerja dengan syarikat SYM.

“Saya berani memberi jaminan kepada semua orang agar membeli dan mencuba sendiri topi keledar jenama Laser kerana ia ternyata berkualiti dan memuaskan para pengguna.

“Sehingga kini SYM telah berjaya mengeluarkan topi keledar pelbagai jenis, antaranya J800, J101, L200, NS, dan S18 yang masing-masing mempunyai corak dan warna tersendiri.” Katanya.

June 11, 2011

UMNO tolak hukum Islam: Nizar

KEPALA BATAS-

Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tidak layak untuk dijadikan contoh dan pemimpin teladan walaupun telah memimpin negara selama 22 tahun.

Malah beliau juga bukan saja menolak hukum Islam yang cuba dilaksanakan oleh kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan, tetapi memperlekehkan hukum Islam apabila mengugut akaan menggunakan pelbagai cara serta peruntukan bagi menghalang pelaksanaan hukum itu.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohamamd Nizar Jamaluddin (gambar) berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah di padang awam, Penaga, Kepala Batas malam tadi.

Katanya lagi, ini juga membuktikan Umno yang diterajui oleh Tun Mahathir ketika itu, jelas menolak hukum Islam dan sekaligus membuktikan kepimpinan mereka bukan saja memperkecilkan kemampuan undang-undang yang menjadi tuntutan syarak sepertimana yang terkandung dalam Al Quran.

“Kenyataan Tuan Guru Nik Aziz bahawa beliau masih lagi menyimpan surat larangan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan oleh Presiden Umno dan Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir bukan satu omongan kosong.

“Surat tersebut juga bukan satu cerita palsu yang direka seperti video seks lucah atau seumpamanya, tetapi ia adalah kenyataan yang tidak sepatutnya lahir dari seorang pemimpin yang mendakwa mereka memperjuangkan bangsa Melayu dan agama Islam dalam negara ini.

Ini juga, katanya menzahirkan pemalsuan perjuangan sebenar Umno dalam menegakkan kebenaran dan hukum yang menjadi tuntutan untuk dilaksanakan oleh setiap pimpinan Islam dalam negara ini.

Oleh kerana itu katanya, orang Melayu dan umat Islam dalam negara ini tidak sepatutnya bersekongkol dan menyokong perjuangan yang dibawa oleh Umno, setelah terbukti dengan sahih penolakan pimpinan mereka dalam melaksanakan tuntutan agama tersebut.

May 11, 2011

Kelab SFT Bantu Ketua Jabatan Trafik P.Pinang Cegah Jenayah

BERI KESELESAAN KEPADA MASYARAKAT

Georgetown-

Demi untuk memastikan masyarakat sentiasa bersama pihak polis membanteras jenayah, inisiatif diambil oleh Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia Pulau Pinang, Supt Wan Aziz Wan Hussin bersama-sama dengan kelab motosikal Sanyang Motosikal (SYM) Fans Team (SFT) untuk mengedarkan risalah dan penerangan kepada orang ramai.

Bermula seawal jam 7 petang, program bertemu masyarakat digerakkan bersama dengan ahli kelab SFT mengeliling pulau bermula dari Jelutong, Padang Kota, Teluk Bahang dan berakhir di Queensbay berdekatan dengan kawasan pantai.

Pelepasan konvoi kelab SFT dan Polis Trafik Pulau Pinang telah dirasmikan oleh Pengurus MForce Bike Holdings Sdn Bhd, Pallmon Neoh Kok Boon dengan mengibarkan bendera Malaysia dan bendera SYM sebagai simbolik bermulanya konvoi.

Wan Aziz ketika ditemui berkata, program mendekati masyarakat dengan mengedarkan risalah penerangan boleh membantu mereka memahami situasi sebenar apa yang dimaksudkan dengan jenayah yang sering menjadi masalah pada masa kini.

“Walaupun terpaksa bergerak pada waktu malam, ia tidak menjadi halangan, kerana bagi pihak polis masa dan ketika tidak menjadi persoalan. Yang penting ialah masyarakat dapat memberi kerjasama bagi membanteras kegiatan jenayah yang dilihat sebagai satu ancaman kepada kehidupan masyarakat.

“Melalui pendekatan yang dilakukan secara bersantai bersama-sama dengan kelab motosikal, ia dilihat lebih mesra dan memberi keselesaan kepada masyarakat dari majlis formal yang pernah diadakan sebelum ini.” Katanya.

Tambah beliau lagi, program ini juga menjadi sebahagian dari gerak kerja kemasyarakatan yang sering diadakan oleh kelab motosikal milik MForce Bike Holdings Sdn Bhd yang berpusat di Bukit Mertajam.

Selain mengedarkan risalah kepada orang yang lalu lalang di kawasan pantai, penerangan secara mesra dan santai turut diberikan kepada setiap individu dan kumpulan yang ditemui bagi memberi keselesaan kepada mereka.

Pallmon Neoh Kok Boon ketika ditemui berkata, ini merupakan aktiviti pertama kelab permotoran SYM mengadakan konvoi pada waktu malam bersama Ketua Polis Trafik Pulau Pinang.

“Kita akan terus adakan aktiviti bersejarah seperti ini pada masa akan datang bagi membantu pihak polis membanteras jenayah di sekitar kawasan Pulau Pinang.

“Selain membatu pihak Polis membanteras jenayah, ia secara tidak langsung turut membantu syarikat untuk mempromosi motosikal SYM kepada orang ramai.

“Walaupun SYM masih baru di Malaysia, ia merupakan syarikat pertama yang berani menanggung risiko sekiranya motosikal mengalami kerosakan di jalan raya ketika berkonvoi.” Jelasnya.

Asrul Effendi, Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Media kelab SFT ketika ditemui menjelaskan bahawa, ini merupakan kali pertama kelab SFT mengadakan aktiviti konvoi pada waktu malam.

“Pengalaman yang amat bermakna ini tidak akan sesekali kami (ahli-ahli SFT) lupakan kerana ia pengalaman pertama kami berkonvoi pada waktu malam. Sungguh seronok jika dilihat pada waktu malam motosikal skuter berkuasa tinggi kelab SFT dihiasi dengan lampu-lampu dan bunyi siren yang memukau padangan orang ramai.

“Sebanyak 42 motosikal SYM yang terdiri daripada VTS200 dan Evo250 turut serta dalam aktiviti konvoi bersama Polis kali ini.” Katanya.

May 10, 2011

Demo: Permainan Politik Bahaya UMNO

UMNO TERDESAK RAIH SOKONGAN UNDI KAUM MELAYU

Butterworth-

UMNO cuba menunjukkan permainan politik kotor dan tidak beradab dengan menyelar tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semasa merasmikan pembukaan jalan alternatif yang menghubungkan Jalan Bagan 29 ke Bagan Jermal baru-baru ini.

Akibat tindakan yang kurang sopan, lima orang ahli UMNO yang mengadakan demonstarsi jalanan tanpa permit telah berjaya diberkas oleh pihak Polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang bertugas.

Lima orang ahli UMNO yang ditangkap telah dibawa ke Balai Polis Butterworth dengan kawalan ketat pihak Polis untuk diambil keterangan.

Lim Guan Eng semasa sidang media berkata, Tindakan 80 ahli UMNO yang mengadakan demonstrasi jalanan tanpa permit cuba menyebarkan kata-kata pembohongan secara terang-terangan dengan mendakwa DAP berhasrat untuk membentuk negara Kristian dan melantik Perdana Menteri yang beragama Kristian.

“Ini merupakan permainan kotor UMNO yang terdesak untuk meraih sokongan undi dari kaum Melayu.

“Ramai pemimpin di kalangan komuniti agama Kristian turut melahirkan kekecewaan atas penipuan bersifat provokasi yang telah dimainkan oleh UMNO hanya semata-mata untuk meraih sokongan undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Barisan Nasional (BN) dan UMNO harus bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak dingini oleh komuniti Kristian di Malaysia berikutan kempen pembohongan dan benci yang dilakukan oleh Utusan Malaysia.

“DAP menyokong sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang telah menetapkan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. DAP menentang sekeras-kerasnya cubaan UMNO dan BN yang cuba membentuk negara teokratis yang berdasarkan mana-mana agama lain.

“Dalam perlembagaan parti DAP juga telah termakub bahawa Islam adalah agama rasmi di Malaysia.” Tegasnya.

Tambah beliau, sangat menyedihkan kerana UMNO sanggup menentang jalan alternatif percuma yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetapi tidak pula mengadakan demonstrasi menentang jalan yang dikenakan bayaran tol sebanyak RM0.50.

“BN buat jalan bertol untuk kutip duit daripada rakyat tanpa penyediakan jalan alternatif percuma lain. Pakatan Rakyat (PR) pula menyediakan jalan alternatif percuma tanpa pengutip duit daripada rakyat. Hal ini telah terbukti perbezaan yang amat ketara di antara BN dan PR.

“Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menghapuskan tol di Sungai Nyiur kerana pembinaan struktur bangunan adalah dibawah kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya PR berjaya tawan putrajaya pada PRU akan datang, baru kita akan hapuskan tol Sungai Nyiur.

“BN dan UMNO mempunyai hak untuk membantah dan menentang tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah pimpinan PR kerana telah membina jalan alternatif tanpa tol di Jalan Bagan dekat Butterworth. Ini terbukti terdapat perbezaan prinsip BN yang hanya suka mengutip duit rakyat.” Katanya.

May 6, 2011

Kelab Otai SYM Bikers Keliling Kedah

KONVOI DALAM NEGARA LEBIH SERONOK BERBANDING LUAR NEGARA

Kedah-

Kelab permotoran motosikal kuasa tinggi sering dikaitkan dengan aktiviti yang lasak dan terlibat dengan aktiviti berkonvoi jarak jauh bersama pejawat tinggi mahupun iringi pasangan pengantin ke majlis perkahwinan.

Bagi Kelab Otai SYM Bikers (OSB), tujuan berkonvoi adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama rakan dan ahli keluarga disamping mengisi masa lapang dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan bantuan.

Pengerusi Kelab OSB, Aziz Yahya ketika ditemui berkata, berkonvoi di dalam negara lebih seronok berbanding berkonvoi di luar negara seperti Thailand.

“Bagi memperkenalkan motosikal skuter berkuasa tinggi SYM kepada orang ramai, OSB telah berkonvoi mengelilingi negeri Kedah selama dua hari.

“Aktiviti konvoi mengelilingi negeri Kedah turut menjelajah beberapa kawasan seperti Sungai Petani, Gurun, Alor Setar, Baling dan berakhir semula di perkarangan tol Bertam, dekat Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Kehebatan berkonvoi dalam negara sungguh menyeronokkan, tambahan pula kita mendapat tindakbalas daripada penduduk negeri Kedah yang melihat kelibat kedatangan 30 buah motosikal skuter berkuasa tinggi OSB dikawasan mereka.

“Amat jauh sekali perbezaan keseronokan dan kepuasan berkonvoi di luar negara kerana kita kurang mendapat perhatian daripada penduduk luar.” Katanya.

Tambahnya lagi, tujuan utama konvoi mengelilingi negeri Kedah adalah untuk memperkenalkan motosikal skuter berkuasa tinggi SYM yang mampu dimiliki semua orang dengan harga yang murah.

“Selain melawat beberapa kawasan pelancongan di negeri Kedah, OSB turut singgah melawat beberapa buah kedai pengedar motosikal SYM bagi bertukar pendapat dan menyampaikan cenderahati khas daripada kilang SYM.

“Aktiviti konvoi selama dua hari di negeri Kedah memberi pengalaman yang amat bermakna kepada ahli-ahli OSB kerana mendapat diskaun khas sebanyak 10% harga tiket masuk untuk melawat ladang anggur daripada Kerajaan Negeri Kedah.” Katanya.

Bendahari Kelab OSB, Dorohid Situ ketika ditemui berkata, ahli-ahli dan kelab OSB tidak perlu mengeluarkan duit poket sendiri untuk berbelanja kerana telah mendapat tajaan daripada syarikat SYM.

“Saya berterima kasih kepada SYM kerana telah memberi tajaan 100% kepada Kelab OSB untuk mengelilingi negeri Kedah. Tajaan yang diberikan termasuklah penginapan, makan dan minum, minyak petrol, dan bayaran tiket untuk memasuki beberapa kawasan pelancongan.

“Bagi pendapat saya, berkonvoi dalam negara paling menyeronokkan berbanding luar negara. Hal ini kerana ketika berkonvoi, penduduk kawasan yang terlibat telah memberi riaksi kepada OSB dengan melambai tangan, melontar senyuman, dan sebagainya.

“Saya berasa amat berpuas hati dengan perancangan aktiviti Kelab OSB untuk mengelilingi negeri Kedah. Ini merupakan pengalaman yang paling menarik dan menyeronokkan buat ahli-ahli OSB.” Katanya.

April 28, 2011

Jus Pink Guava Mampu Rawat Penyakit

5X GANDA OREN, 50X GANDA EPAL

Sungai Petani, Kedah-

Gold Tri Sunrise Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat tempatan yang diusahakan sepenuhnya oleh usahawan bumiputera yang mengeluarkan produk jus jambu batu merah atau lebih dikenali dengan nama Jus Pink Guava.

Pengurus Pengedar Cawangan Kedah, Ahmad Lufti, ketika ditemui berkata Jus Pink Guava mempunyai khasiat yang berlipat kali ganda berbanding, oren, strawberi, epal dan sebagainya.

“Jus Pink Guava ini mempunyai banyak kebaikan dan kelebihan kepada orang ramai, antaranya mengandungi vitamin C 5kali ganda berbanding Oren, 50kali ganda dari epal, mengandungi Lycopene (Anti Kanser), Kalsium dan banyak lagi.

“Semua orang harus mencuba produk ini kerana ia juga mampu merawat penyakit seperti kecing manis, asma, migrain, darah tinggi, gout, buasir, demam denggi, masalah jantung, cirit birit, kanser paru-paru, kaser payu dara dan sebagainya.

Kita tidak digalakkan mempercayai sepenuhnya produk ini mampu merawat penyakit, tetapi kita harus percaya bahawa setiap penyakit ada penawarnya dan akan sembuh dengan izin allah. Kita sebagai manusia hanya berusaha untuk mencari penawarnya disamping membantu orang ramai menjaga kesihatan.

“Jus Pink Guava juga telah mendapat pengitirafan beberapa pertubuhan kesihatan dunia termasuk WHO dan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).

“WHO juga telah mengiktirafkan jambu batu merah yang ditanam di Malaysia adalah paling terbaik berbanding tanaman di Afrika, Brazil, Indonesia, India dan Taiwan.

“Sehingga kini, Jus Pink Guava telah dieksport ke Dubai, Hong Kong, Indonesia, Singapura, Thailand dan yang terbaru bakal memasuki pasaran Eropah bermula di Jerman.” Katanya semasa ditemui di Pusat pengedar produk cawangan Kedah, dekat Sungai Petani.

Beliau yang mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan sejak 20 tahun yang lalu berkata, jus ini adalah 100 peratus asli dan tulen tanpa menggunakan bahan kimia, tanpa gula sukros, tanpa bahan pengawet, tanpa pewarna dan perisa tiruan.

“Malaysia mempunyai kelebihan dari segi iklim dan tanah yang sesuai bagi menghasilkan tanaman jambu batu merah yang sangat berkualiti ditambah pula dengan pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang dilaksankan oleh Sime Darby selaku pemilik ladang jambu merah terbesar dunia.

“Produk Jus Pink Guava boleh didapati dalam kotak 1 liter dengan harga RM17 setiap satu. Manakala untuk pembelian 12 kotak Jus Pink Guava boleh didapati dengan harga RM152.

“Kami juga mengamalkan kaedah pemasaran secara dagangan digabungkan dengan konsep pakatan iaitu syarikat mempelawa orang ramai untuk menjadi rakan niaga dan stokis serta membina rangkaian rakan niaga lain bagi tujuan pembahagian keuntungan.” Jelasnya.

Tambah beliau lagi, Syarikat Gold Tri Sunrise kini mempunyai 200 stokis diseluruh negara dan mensasarkan memiliki lebih 1000 stokis menjelang akhir tahun ini.

Gold Tri Sunrise telah berjaya melonjak hasil jualan antara 1 hingga 1.5 juta kotak sebulan dengan jualan kasar kira-kira RM15 juta.

Maklumat lanjut boleh hubungi Pengurus Pengedar Cawangan Kedah ditalian 012-4935791 dan 013-5382336 atau layari laman sesawang http://www.sunrise-guava.com.

April 21, 2011

SFT Berjaya Uji Mio100 di UniKL

Mio100 ADA KEHEBATAN TERSENDIRI!

Kulim-

Setiap hujung minggu semestinya semua orang ingin menghabiskan masa bersama keluarga disamping mengadakan aktiviti riadah, berkelah, membeli belah dan sebagainya. Tetapi amat berbeza dengan golongan yang amat meminati motosikal skuter berkuasa tinggi Sanyang Motor (SYM) yang baru dijual di Malaysia hampir genap usia empat tahun.

Kelab SYM Fans Team (SFT) menjadikan aktiviti konvoi sebagai satu aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama rakan dan ahli kelurga yang lain disamping melakukan kerja-kerja amal.

Pengerusi SFT, Ku Salim Ku Long ketika ditemui berkata, kali ini SFT akan mengadakan demo cara tunggangan motosikal yang betul dengan menggunakan skuter SYM Vts200, Mio100 dan moped Bonus110.

“Syarikat SYM meminta SFT menunjukkan cara tunggangan motosikal yang betul kepada orang ramai khususnya kepada golongan pelajar bagi mengelakkan mereka terdedah kepada gejala rempit dan perkara yang tidak berfaedah.

“Ahli-ahli SFT turut diminta membuat ujian tunggangan menggunakan motosikal Mio100 yang bakal dijual dipasaran tidak lama lagi.

“Saya amat terkejut kerana sungguh ramai orang yang ingin mencuba menunggang sendiri motosikal Mio100 ini selain ahli-ahli SFT kerana ia mempunyai kehebatan tersendiri disebalik bentuknya yang kecil dan comel.” Katanya semasa ditemui di perkarangan tapak demo SYM dekat UniKL, Kulim.

Beliau yang mula melibatkan diri dalam bidang permotoran sejak tahun 2009 tidak pernah rasa menyesal memilih motosikal skuter SYM.

Tambah beliau, motosikal SYM ini amat berbeza kehebatannya jika nak dibandingkan dengan motosikal lain. Perjalanan yang menjimatkan minyak menjadi punca utama beliau memilih SYM.

“Saya hanya perlu mengisi minyak RM25 sekali sahaja sehingga penuhi tangki untuk perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur. Sungguh menjimatkan minyak jika nak dibandingkan dengan tambang perjalanan ke Kuala Lumpur menaiki bas dan kereta sendiri.

“Saya menghabiskan duit hampir RM3000 untuk menghias motosikal dengan lampu-lampu, alarm, siren, dan banyak lagi. Kerana minatkan motosikal SYM, duit tidak menjadi beban kepada saya untuk menghiasi motosikal supaya nampak lebih cantik, menarik dan menjadi tarikan kepada sesiapa sahaja yang memandang motosikal SYM di jalan raya kelak.

“Saya nasihatkan kepada orang ramai supaya memilih motosikal skuter SYM kerana ia mempunyai kualiti yang tinggi, harga berpatutan dan mampu dimiliki, selesa untuk perjalanan jarak jauh dan menjimatkan minyak.” Katanya.

Ahli SFT, Asrul Effendi ketika ditemui berkata, tujuan utama kita mengadakan demo di UniKL adalah untuk mempromosikan motosikal SYM kepada orang ramai kerana penubuhan SYM di Malaysia baru mencecah usia empat tahun.

“Walaupun SYM telah 61 tahun di Taiwan, tetapi rakyat Malaysia kebanyakannya masih tidak tahu akan kewujudan SYM di Malaysia. Kita mengambil peluang ini bagi meningkatkan bilangan pembeli motosikal skuter SYM disamping dapat menambahkan ahli-ahli baru untuk turut serta dalam aktiviti konvoi pada masa akan datang.

“Perjalanan konvoi SFT ke UniKL bermula dari Seberang Jaya sebelum mengelilingi pekan Kulim sambil mengibarkan bendera UniKL sepanjang perjalanan. Kita kibarkan bendera UniKL bertujuan untuk memberitahu kepada orang ramai tentang aktiviti yang sedang dijalankan di UniKL bersama SYM.

“Saya yakin motosikal SYM akan memenuhi jalan raya seperti motosikal lain tidak lama lagi kerana harga yang berpatutan, kelajuan yang menjadi tarikan golongan muda, dan kualiti yang memuaskan para pembeli.” Jelasnya.

April 15, 2011

Beras Percuma Setiap Bulan: Rosidi

BUKAN DAPATKAN POPULARITI!

Kepala Batas-

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Rosidi Husein mengambil langkah kearah kesejahteraan rakyat dengan memberi beras secara percuma setiap bulan kepada 100 fakir miskin di DUN Penaga.

Tegas beliau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga merupakan DUN pertama di Pulau Pinang yang mengambil langkah ini selaras dengan tindakan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan di bawah Pimpinan PAS.

“Bila saya tengok kerajaan Negeri Kelantan berjaya melakukan program tersebut, saya cuba mencari dana yang mencukupi untuk membantu golongan fakir miskin di DUN penaga dengan memberi beras secara percuma bagi meringankan beban mereka.

“Tindakan saya ini bukan untuk mendapatkan nama dan populariti sebaliknya mahu memenuhi tanggungjawab sebagai seorang pemimpin di sebuah kerajaan negeri yang mementingkan kebajikan rakyat.” Katanya semasa ucapan pelancaran di Dewan Kelompok Padi, Kampung Lahar Kepar, dekat Pulau Pinang.

Tambah beliau, langkah yang dilaksanakan ini sebenarnya mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara barisan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dengan rakyat negeri Pulau Pinang, serta mengambil peluang untuk mendengar keluhan dan menyelesaikan segala masalah rakyat.

“Ini merupakan langkah pertama PAS di DUN ini untuk memberi beras secara percuma setiap bulan, mungkin akan ada beberapa nama yang tercicir dari pemerhatian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK).

“Oleh demikian, mereka yang terpilih mestilah betul-betul daripada golongan yang daif dan tidak berupaya bekerja menampung pendapatan keluarga.

“Untuk memastikan program ini berjaya dilaksanakan dengan betul, semua JKKK harus menjadi telinga dan mata kerajaan negeri untuk menghidu dan keluhan dan masalah rakyat, bukan sekadar hanya mendapatkan nama-nama yang tercicir sehaja sebab kerja-kerja kebajikan harus dibuat dengan bersungguh-sungguh.” Katanya.

Beliau menegaskan, program tersebut akan diselenggara oleh penyelaras DUN bersama JKKK seluruh kawasan Penaga untuk menimbulkan kesedaran kemasyarakatan yang selama ini bergantung kepada UMNO kini sudah hampir tengelam dan pupus oleh arus gelombang politik negara.

Turut hadir dalam menjayakan majlis ialah Penasihat Mutiara Infaq, Zulkifli Md Lazim, Pengerusi Syarikat Tunas Indah Niaga, Zaini Hasan, bekas pelumba motosikal negara, Yaser Said dan Bekas penyanyi utama kumpulan rock Gamma, Blank.