Archive for May, 2011

May 11, 2011

Kelab SFT Bantu Ketua Jabatan Trafik P.Pinang Cegah Jenayah

BERI KESELESAAN KEPADA MASYARAKAT

Georgetown-

Demi untuk memastikan masyarakat sentiasa bersama pihak polis membanteras jenayah, inisiatif diambil oleh Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia Pulau Pinang, Supt Wan Aziz Wan Hussin bersama-sama dengan kelab motosikal Sanyang Motosikal (SYM) Fans Team (SFT) untuk mengedarkan risalah dan penerangan kepada orang ramai.

Bermula seawal jam 7 petang, program bertemu masyarakat digerakkan bersama dengan ahli kelab SFT mengeliling pulau bermula dari Jelutong, Padang Kota, Teluk Bahang dan berakhir di Queensbay berdekatan dengan kawasan pantai.

Pelepasan konvoi kelab SFT dan Polis Trafik Pulau Pinang telah dirasmikan oleh Pengurus MForce Bike Holdings Sdn Bhd, Pallmon Neoh Kok Boon dengan mengibarkan bendera Malaysia dan bendera SYM sebagai simbolik bermulanya konvoi.

Wan Aziz ketika ditemui berkata, program mendekati masyarakat dengan mengedarkan risalah penerangan boleh membantu mereka memahami situasi sebenar apa yang dimaksudkan dengan jenayah yang sering menjadi masalah pada masa kini.

“Walaupun terpaksa bergerak pada waktu malam, ia tidak menjadi halangan, kerana bagi pihak polis masa dan ketika tidak menjadi persoalan. Yang penting ialah masyarakat dapat memberi kerjasama bagi membanteras kegiatan jenayah yang dilihat sebagai satu ancaman kepada kehidupan masyarakat.

“Melalui pendekatan yang dilakukan secara bersantai bersama-sama dengan kelab motosikal, ia dilihat lebih mesra dan memberi keselesaan kepada masyarakat dari majlis formal yang pernah diadakan sebelum ini.” Katanya.

Tambah beliau lagi, program ini juga menjadi sebahagian dari gerak kerja kemasyarakatan yang sering diadakan oleh kelab motosikal milik MForce Bike Holdings Sdn Bhd yang berpusat di Bukit Mertajam.

Selain mengedarkan risalah kepada orang yang lalu lalang di kawasan pantai, penerangan secara mesra dan santai turut diberikan kepada setiap individu dan kumpulan yang ditemui bagi memberi keselesaan kepada mereka.

Pallmon Neoh Kok Boon ketika ditemui berkata, ini merupakan aktiviti pertama kelab permotoran SYM mengadakan konvoi pada waktu malam bersama Ketua Polis Trafik Pulau Pinang.

“Kita akan terus adakan aktiviti bersejarah seperti ini pada masa akan datang bagi membantu pihak polis membanteras jenayah di sekitar kawasan Pulau Pinang.

“Selain membatu pihak Polis membanteras jenayah, ia secara tidak langsung turut membantu syarikat untuk mempromosi motosikal SYM kepada orang ramai.

“Walaupun SYM masih baru di Malaysia, ia merupakan syarikat pertama yang berani menanggung risiko sekiranya motosikal mengalami kerosakan di jalan raya ketika berkonvoi.” Jelasnya.

Asrul Effendi, Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Media kelab SFT ketika ditemui menjelaskan bahawa, ini merupakan kali pertama kelab SFT mengadakan aktiviti konvoi pada waktu malam.

“Pengalaman yang amat bermakna ini tidak akan sesekali kami (ahli-ahli SFT) lupakan kerana ia pengalaman pertama kami berkonvoi pada waktu malam. Sungguh seronok jika dilihat pada waktu malam motosikal skuter berkuasa tinggi kelab SFT dihiasi dengan lampu-lampu dan bunyi siren yang memukau padangan orang ramai.

“Sebanyak 42 motosikal SYM yang terdiri daripada VTS200 dan Evo250 turut serta dalam aktiviti konvoi bersama Polis kali ini.” Katanya.

Advertisements
May 10, 2011

Demo: Permainan Politik Bahaya UMNO

UMNO TERDESAK RAIH SOKONGAN UNDI KAUM MELAYU

Butterworth-

UMNO cuba menunjukkan permainan politik kotor dan tidak beradab dengan menyelar tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semasa merasmikan pembukaan jalan alternatif yang menghubungkan Jalan Bagan 29 ke Bagan Jermal baru-baru ini.

Akibat tindakan yang kurang sopan, lima orang ahli UMNO yang mengadakan demonstarsi jalanan tanpa permit telah berjaya diberkas oleh pihak Polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang bertugas.

Lima orang ahli UMNO yang ditangkap telah dibawa ke Balai Polis Butterworth dengan kawalan ketat pihak Polis untuk diambil keterangan.

Lim Guan Eng semasa sidang media berkata, Tindakan 80 ahli UMNO yang mengadakan demonstrasi jalanan tanpa permit cuba menyebarkan kata-kata pembohongan secara terang-terangan dengan mendakwa DAP berhasrat untuk membentuk negara Kristian dan melantik Perdana Menteri yang beragama Kristian.

“Ini merupakan permainan kotor UMNO yang terdesak untuk meraih sokongan undi dari kaum Melayu.

“Ramai pemimpin di kalangan komuniti agama Kristian turut melahirkan kekecewaan atas penipuan bersifat provokasi yang telah dimainkan oleh UMNO hanya semata-mata untuk meraih sokongan undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Barisan Nasional (BN) dan UMNO harus bertanggungjawab sepenuhnya sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak dingini oleh komuniti Kristian di Malaysia berikutan kempen pembohongan dan benci yang dilakukan oleh Utusan Malaysia.

“DAP menyokong sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang telah menetapkan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. DAP menentang sekeras-kerasnya cubaan UMNO dan BN yang cuba membentuk negara teokratis yang berdasarkan mana-mana agama lain.

“Dalam perlembagaan parti DAP juga telah termakub bahawa Islam adalah agama rasmi di Malaysia.” Tegasnya.

Tambah beliau, sangat menyedihkan kerana UMNO sanggup menentang jalan alternatif percuma yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetapi tidak pula mengadakan demonstrasi menentang jalan yang dikenakan bayaran tol sebanyak RM0.50.

“BN buat jalan bertol untuk kutip duit daripada rakyat tanpa penyediakan jalan alternatif percuma lain. Pakatan Rakyat (PR) pula menyediakan jalan alternatif percuma tanpa pengutip duit daripada rakyat. Hal ini telah terbukti perbezaan yang amat ketara di antara BN dan PR.

“Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menghapuskan tol di Sungai Nyiur kerana pembinaan struktur bangunan adalah dibawah kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Sekiranya PR berjaya tawan putrajaya pada PRU akan datang, baru kita akan hapuskan tol Sungai Nyiur.

“BN dan UMNO mempunyai hak untuk membantah dan menentang tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah pimpinan PR kerana telah membina jalan alternatif tanpa tol di Jalan Bagan dekat Butterworth. Ini terbukti terdapat perbezaan prinsip BN yang hanya suka mengutip duit rakyat.” Katanya.

May 6, 2011

Kelab Otai SYM Bikers Keliling Kedah

KONVOI DALAM NEGARA LEBIH SERONOK BERBANDING LUAR NEGARA

Kedah-

Kelab permotoran motosikal kuasa tinggi sering dikaitkan dengan aktiviti yang lasak dan terlibat dengan aktiviti berkonvoi jarak jauh bersama pejawat tinggi mahupun iringi pasangan pengantin ke majlis perkahwinan.

Bagi Kelab Otai SYM Bikers (OSB), tujuan berkonvoi adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama rakan dan ahli keluarga disamping mengisi masa lapang dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan bantuan.

Pengerusi Kelab OSB, Aziz Yahya ketika ditemui berkata, berkonvoi di dalam negara lebih seronok berbanding berkonvoi di luar negara seperti Thailand.

“Bagi memperkenalkan motosikal skuter berkuasa tinggi SYM kepada orang ramai, OSB telah berkonvoi mengelilingi negeri Kedah selama dua hari.

“Aktiviti konvoi mengelilingi negeri Kedah turut menjelajah beberapa kawasan seperti Sungai Petani, Gurun, Alor Setar, Baling dan berakhir semula di perkarangan tol Bertam, dekat Kepala Batas, Pulau Pinang.

“Kehebatan berkonvoi dalam negara sungguh menyeronokkan, tambahan pula kita mendapat tindakbalas daripada penduduk negeri Kedah yang melihat kelibat kedatangan 30 buah motosikal skuter berkuasa tinggi OSB dikawasan mereka.

“Amat jauh sekali perbezaan keseronokan dan kepuasan berkonvoi di luar negara kerana kita kurang mendapat perhatian daripada penduduk luar.” Katanya.

Tambahnya lagi, tujuan utama konvoi mengelilingi negeri Kedah adalah untuk memperkenalkan motosikal skuter berkuasa tinggi SYM yang mampu dimiliki semua orang dengan harga yang murah.

“Selain melawat beberapa kawasan pelancongan di negeri Kedah, OSB turut singgah melawat beberapa buah kedai pengedar motosikal SYM bagi bertukar pendapat dan menyampaikan cenderahati khas daripada kilang SYM.

“Aktiviti konvoi selama dua hari di negeri Kedah memberi pengalaman yang amat bermakna kepada ahli-ahli OSB kerana mendapat diskaun khas sebanyak 10% harga tiket masuk untuk melawat ladang anggur daripada Kerajaan Negeri Kedah.” Katanya.

Bendahari Kelab OSB, Dorohid Situ ketika ditemui berkata, ahli-ahli dan kelab OSB tidak perlu mengeluarkan duit poket sendiri untuk berbelanja kerana telah mendapat tajaan daripada syarikat SYM.

“Saya berterima kasih kepada SYM kerana telah memberi tajaan 100% kepada Kelab OSB untuk mengelilingi negeri Kedah. Tajaan yang diberikan termasuklah penginapan, makan dan minum, minyak petrol, dan bayaran tiket untuk memasuki beberapa kawasan pelancongan.

“Bagi pendapat saya, berkonvoi dalam negara paling menyeronokkan berbanding luar negara. Hal ini kerana ketika berkonvoi, penduduk kawasan yang terlibat telah memberi riaksi kepada OSB dengan melambai tangan, melontar senyuman, dan sebagainya.

“Saya berasa amat berpuas hati dengan perancangan aktiviti Kelab OSB untuk mengelilingi negeri Kedah. Ini merupakan pengalaman yang paling menarik dan menyeronokkan buat ahli-ahli OSB.” Katanya.