‘Program Bicara Tokoh’ Mengungkap Masalah Melayu dan Islam

Alor Setar, Kedah-

Konflik yang merangkumi permasalahan masyarakat Melayu dan Islam dalam negara menjadi topik hangat diperkatakan dalam ‘ Program Bicara Tokoh’ yang telah diadakan di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) pada 19 Januari baru-baru ini.

Ahli panel yang menampilkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Wadah Pencerdasan Ummat iaitu Dr.Siddiq Fadzil memperlihatkan bagaimana kupasan isu yang membabitkan Melayu dan Islam itu diperkatakan.

Dr.Siddiq dalam pembentangannya menyatakan orang Melayu mempunyai kesedaran tinggi tentang maruah dan kedudukan mereka tetapi kurang diberi perhatian menyebabkan ianya kini sudah berada pada tahap yang memerlukan maruah ini dimartabat serta dinobatkan semula.

“Sebenarnya orang Melayu mempunyai pantang larang terutama dalam peradaban dan tatasusila. Ini termasuklah yang berkaitan dengan hak dan kedudukan bangsa yang telah sekian lama menjadi tunggak kepada perjuangan mempertahankan negara sejak zaman sebelum kehadiran penjajah lagi.

“Melayu adalah sebuah bangsa yang tahu malu. Kita menutup malu dengan mempertahankan maruah. Kita tidak mampu melihat bangsa dirobek-robek oleh anasir yang entah dari mana asal usulnya.

“Islam pula adalah sebuah agama yang memberi kebebasan. Membebaskan diri dari kegelapan kearah kecerahan. Keadilan yang menjadi pegangan untuk diterapkan kepada semua penganutnya. Keadilan pula adalah sebagai ‘ makassiq’ yang amat penting, ” ujarnya lagi.

Sementara itu Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menyatakan kebebasan itu diletakkan bersama-sama dengan keadilan. Prinsip ‘ makassiq’ yang diperkatakan sememangnya wujud keadilan dalam Islam.

Ia adalah realiti yang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Perjuangan yang berlandaskan kepada keadilan boleh diterima pakai oleh Islam dan juga bukan Islam. Malah ia merupakan tuntutan dalam agama Islam yang amat suci.

“Namun begitu dalam negara Malaysia, apa yang diamalkan oleh pemerintah sejak mencapai kemerdekaan negara lebih dari 53 tahun kebebasan dan keadilan tidak menjadi teras kepada perjuangan dalam sistem pemerintahan yang ada.

“Kebebasan bersuara yang dibenarkan dalam Islam tidak dipraktikkan oleh pemerintah. Akta seperti ISA akan digunakan bagi mengekang kebebasan bersuara yang dihadkan kepada kumpulan tertentu sahaja. Rasuah dan kerakusan kuasa dengan menyalahgunakannya menjadi lumrah dan amalan.

“Kes fitnah tentang liwat saya dipohon untuk dibicarakan ke Mahkamah Syariah sesuai dengan kehendak agama. Tetapi diketepikan oleh pemerintah yang mendakwa Islam menjadi pegangan mereka. Akhirnya Mahkamah Syariah diperlekehkan apabila undang-undang yang melibatkan kes seperti ini tidak mahu diguna pakai oleh kerajaan yang memerintah, ” katanya lagi.

Kata Anwar lagi, apabila penolakan ini begitu ketara, maka pada pandangan bukan Islam apakah sebenarnya fungsi Mahkamah Syariah. Apakah ianya hanya untuk nikah-kahwin, cerai-berai, dakwaan mengajar tanpa tauliah, syiah dan ajaran sesat sahaja.

“Khalwat boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah. Tapi liwat tidak boleh. Persepsi ini membawa satu pandangan serong terhadap mahkamah ini yang sepatutnya melaksanakan amanah secara adil dan saksama. ” tambahnya lagi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan dalam kupasannya sempat menyentuh mengenai sistem pemerintahan yang menjadi teras kepada perjuangan Kerajaan Negeri Kedah sejak mulai menerajui kepimpinan negeri.

Katanya, Keadilan adalah tiang dan tunggak bagi undang-undang. Syariah sememangnya mempunyai keadilan.Manakala tauhid dan kepercayaan merupakan tiang bagi akidah umat Islam.

Oleh kerana itu penyalahgunaan perkataan syariah itu amat berleluasa kini.

“Mereka bercakap mengenai syariah dan hukumnya, tetapi melakukan kezaliman dalam pentadbiran, merampas hak dan harta milik rakyat, kekayaan negara dibolot, kronisme berleluasa, skandal dan korupsi menjadi lumrah dan kebiasaan.

“Dalam konteks ini sistem pentadbiran yang harus ada ialah menjadikan Islam itu sebagai asas kepada perjuangan dalam segala aspek. Ini termasuklah dalam bidang sosial, ekonomi, politik  dan seumpamanya, ” tegasnya lagi.

Program ‘ Bicara Tokoh ‘ yang dipengerusikan oleh Presiden Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Hamid ini turut dihadiri oleh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri  Islam dan bukan Islam yang mendokong perjuangan Pakatan Rakyat serta para ilmuan, cendekiawan serta pelajar KUIN dari dalam dan luar negara.

Dalam program ini juga soal-jawab oleh peserta telah berjaya dijawab oleh ahli panel Anwar, Azizan dan Dr.Siddiq.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: