Archive for February, 2011

February 28, 2011

Kedah Taja Tambang Balik Ke Mesir

BONUS RM500 KEPADA SETIAP PELAJAR

Alor Setar-

Seramai 916 pelajar Kedah yang ingin pulang melanjutkan pengajian di Mesir telah menerima imbuhan yang mengejutkan daripada Kerajaan Negeri Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri menanggung sepenuhnya kos pengangkutan dan kos penerbangan sebanyak RM2.5 juta kepada pelajar Kedah yang ingin pulang ke Mesir setelah mereka dibawa pulang ke tanah air dalam Ops Piramid.

“Kerajaan Negeri akan memberi bonus tambahan sebanyak RM500 kepada setiap pelajar sebagai duit poket bagi membantu mereka memulakan kehidupan baru setelah tiba di mesir nanti.

“Saya rasa hanya Kedah saja yang bagi duit tambang secara percuma termasuk duit poket kepada pelajar untuk balik ke Mesir.

“Ini membuktikan kita telah buat persiapan rapi untuk melaksanakan matlamat kerajaan negeri bagi mensejahterakan rakyat Kedah.

“Saya harap segala tohmahan yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri lepas tangan dan tidak prihatin dapat disingkirkan.” Katanya semasa perjumpaan bersama pelajar Kedah di Dewan Bandaraya Alor Setar, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Negeri Kedah menaja penerbangan terus dari KLIA ke Mesir yang melibatkan tiga pesawat Egypt Air yang mampu membawa 220 penumpang pada satu masa.

“Penerbangan pertama dijadualkan akan berlepada pada 5 Mac dan penerbangan seterusnya akan dijadualkan berlepas sebelum 10 Mac ini.

“Kita mendapat tajaan daripada anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), Bina Darulaman Berhad (BDB), Kumpulan Ladang-ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd, Perbadanan Menteri Besar (MBI), Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan Yayasan Islam Negeri Kedah (Yiked).”

“Semua pelajar yang terlibat diminta untuk berurusan dengan Yiked dan membawa bersama pasport sebagai bukti bahawa mereka dibawa pulang menerusi Ops Piramid.” Katanya.

Menurut beliau, semua pelajar yang sudah membeli tiket penerbangan pulang ke Mesir boleh berhubung dengan Yiked untuk tindakan lanjut. Manakala bagi pelajar kedah yang mendapat tajaan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mara perlu merujuk kepada agensi berkenaan terlebih dahulu.

“Kerajaan negeri akan pertimbangkan untuk membantu pelajar tajaan JPA dibawah tanggungan Kerajaan Pusat dan Pelajar Mara jika mereka tidak mendapat tawaran tersebut.

“Kita akan pastikan semua pelajar Kedah dibawa pulang ke Mesir dengan keadaan selamat.

“Saya difahamkan pengajian mereka akan bermula pada bulan depan walaupun situasi penunjuk perasaan di Mesir masih belum selesai sepenuhnya.” Terangnya.

Beliau turut memberi peringatan kepada semua pelajar supaya mendaftar dengan Yiked atau pegawai kebajikan Kedah yang bertugas di Mesir bagi memudahkan Kerajaan Negeri mengambil tindakan sewajarnya apabila sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku di sana.

Sehubungan itu, sebahagian pelajar dan ibu bapa yang ditemui pada perjumpaan tersebut turut melahirkan rasa syukur dan tekejut dengan kejutan yang diumumkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Jelas mereka, sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kewangan keluarga kerana kos perjalanan pulang ke Mesir amat tinggi, tambahan pula sebahagian besar pengajian pelajar di sana dibiayai sendiri.

Advertisements
February 25, 2011

Kampung Melayu Tergadai Angkara UMNO BN?

Pulau Pinang-

Harapkan pagar, pagar makan padi. Ini lah pepatah yang dapat digambarkan atas tindakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menggadaikan kampung Melayu sebelum Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pemerintahan di Pulau Pinang.

Isu yang dimainkan oleh UMNO dan BN mengenai Kampung Binjai di Bayan Lepas, Kg. Jalan Pokok Asam di Jelutong, dan Tanjung Bungah adalah hanya untuk mengkaburkan pandangan rakyat bagi menggambarkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebagai seorang yang anti-Melayu sebenarnya adalah angkara kerajaan BN dahulu dan komplot membolot kekayaan oleh UMNO.

Guan Eng berkata, beliau ingin dilihat sebagai anti-Melayu oleh BN dan UMNO dengan merobohkan rumah-rumah di kampung-kampung Melayu sedangkan syarikat-syarikat yang membangunkan projek hartanah di kawasan terbabit adalah berkaitan UMNO yang kononya memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu di Pulau Pinang.

Beliau menganggap pemimpin-pemimpin UMNO sebagai ‘bermuka-muka’ bertopengkan sebagai hero tetapi sebenarnya adalah penyangak. Guan Eng semasa wawancara bersama media memberitahu, banyak kes-kes yang memperlihatkan usaha berterusan oleh media arus perdana untuk menyakinkan orang ramai bahawa beliau adalah seorang anti-Melayu.

“Antara kes yang klasik ialah usaha menutup 30 000 gerai haram di Pulau Pinang yang sebenarnya hanya melibatkan 18 peratus penjaja Melayu tetapi Media arus perdana dan kalangan pemimpin UMNO membuat demonstrasi dan kenyataan seolah-olah penjaja Melayu menjadi mangsa dan kononya saya adalah seorang yang anti-Melayu.” Katanya.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas merasmikan pembukaan surau di Komtar, memuji tindakan kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana menjaga keperluan penduduk beragama Islam di Pulau Pinang walaupun terpaksa berdepan dengan tuduhan yang mendakwa Guan Eng meminggirkan mereka.

Anwar menegaskan, bantuan kerajaan negeri untuk pendidikan dan kebajikan sosial orang Islam jauh lebih tinggi berbanding yang diberikan oleh BN semasa memerintah kerajaan negeri Pulau Pinang.

February 24, 2011

UMNO dan BN Kini Penghujung Jalan?

Alor Setar-

PAS yakin dan telah siap sedia untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara bagi menggantikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah negara sekian lama.

Naib Presiden PAS, YB. Salahuddin Ayub berkata demikian semasa ucapan penggulungan dalam majlis himpunan 30 ribu pemuda PAS peringkat kebangsaan yang telah diadakan di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut, dekat Alor Setar.

Jelas beliau, dunia telah membuktikan kezaliman dan penindasan terhadap rakyat yang diamalkan oleh kebanyakan pemimpin kini tersungkur di tangan rakyat sendiri.

“Gelombang yang telah menggerakkan kebangkitan rakyat di Mesir adalah kebangkitan di kalangan generasi muda.

“Kebangkitan rakyat kini sudah menular bukan saja ke Tunisa, malah turut merebak ke Algeria dan Yaman.

“Apakah gerakan ini tidak mungkin bangkit di negara ini? Adalah tidak mustahil bagi rakyat untuk bangkit bagi menumbangkan segala kezaliman dan melenyapkan kemungkaran yang selama ini berlaku dalam sistem pemerintahan dalam negara.

“Jangan bimbang dan takut dengan UMNO dan BN. Mereka kini dari hari ke hari semakin mendekati penghujung jalan.

“Usia mereka sudah tidak dapat bertahan lama lagi sebagai pemerintah dalam negara ini.” Katanya.

Tambahnya lagi, perubahan juga berlaku di Amerika kerana imej yang dikagumi oleh masyarakat Inggeris bahawa hanya orang berkulit putih sahaja yang boleh menerajui kerusi Presiden di White House juga sudah berubah apabila Obama yang berkulit hitam menerajui kerusi tersebut.

Oleh demikian, PAS dan Pakatan Rakyat (PR) juga tidak mustahil untuk menjejakkan kaki ke Putrajaya sebagai parti yang layak untuk menggantikan UMNO dan BN dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

February 19, 2011

Bob Lokman Sertai PAS?

BOB LOKMAN SAH AHLI PAS

Alor Setar, Kedah

Himpunan 30 ribu pemuda PAS yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut, dekat Alor Setar, telah memberi satu kejutan yang amat dasyat kepada bidang seni dan selebriti tanah air.

Semasa majlis perasmian sedang berlangsung, pelakon dan penulis lirik terkenal yang mesra dengan panggilan Bob Lokman telah mengejutkan banyak pihak serta orang ramai apabila beliau turut hadir ke himpunan tersebut.

Kehadiran beliau dengan senyuman dan wajah ceria telah memberi satu kejutan apabila beliau menyerahkan borang keahliannya untuk menyertai PAS kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak.

Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub semasa ucapannya berkata, penyertaan dari golongan selebriti itu diharapkan dapat memberi nafas baru kepada PAS supaya dapat menarik pelbagai lapisan masyarakat untuk menyertai PAS.

“Saya rasa ini akan menarik minat dan perhatian lebih ramai golongan muda dan selebriti untuk menyertai PAS.” Katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menegaskan, Bob Lokman yang juga pelakon terkenal drama bersiri ‘Epilog Syurga Cinta’ di TV3 bukanlah artis pertama yang menyertai PAS.

“Sebelum ini terdapat juga artis-artis lain yang menyertai PAS seperti Akill Hayy dan Ito dari kumpulan Blues Gang.

“Manakala Amy Search pula didakwa mendekati pemimpin PAS dan sering hadir ke progam ajnuran PAS.

“PAS sebenarnya popular di kalangan rockers juga tanpa mengira lapisan masyarakat”. Jelasnya.

Tambahnya lagi, Ini akan memberi kejutan dan tamparan yang kuat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang selama ini mendakwa hanya mereka mendapat sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat.

February 10, 2011

100 Moto SYM Konvoi ke Cameron Highlands

“MENGATASI MASALAH MAT REMPIT”

Juru, Pulau Pinang-

Setelah tiga tahun penubuhan Sanyang Motor Malaysia Bikers Club (SMBC) di Malaysia, seramai 128 peserta serta 100 buah motorsikal sekuter berkuasa tinggi VTS 200 dan Evo 250 telah menyertai rombongan sambil beramal ke Cameron Highland.

Aktiviti yang mengambil masa dua hari ini telah memulakan perjalanan dari perkarangan stesen minyak Petronas Autocity, dekat Juru.

Ahli jawatankuasa, Afzainizam Wahab ketika ditemui berkata objektif umum aktiviti ini adalah untuk menumpukan perhatian kepada idea dan pandangan rakan-rakan untuk masa depan kelab serta membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

“Sebagai satu kelab motorsikal sekuter berkuasa tinggi pertama di Malaysia, kita akan beri penekanan kepada faktor gembira dan riadah dalam semua aktiviti untuk mengukuhkan hubungan silaturrahim diantara rakan-rakan dan masyarakat disamping meningkatkan keharmonian sesama ahli.

“Walaupun baru mencecah tiga tahun penubuhan syarikat Sanyang Motor (SYM) di Malaysia, ia tidak menjadi halangan kepada kami untuk membeli motor SYM kerana produk import dari Taiwan ini amat berkualiti dan harganya berpatutan.

“Tujuan aktiviti konvoi pada kali ini adalah untuk mendengar taklimat memadam kebakaran dari Jabatan Bomba dan Penyelamat dekat Simpang Pulai, Perak, sebelum meneruskan perjalanan ke Cameron Highland untuk melawat ladang strawberi.

“Disamping itu juga, aktiviti akan diteruskan dengan mendengar taklimat mengenai cara-cara memberi rawatan kecemasan dari pasukan medic sekiranya berlaku kemalangan semasa aktiviti konvoi.” Terangnya.

Penaung SMBC, YB. Dato Musa Sheikh Fadzir ketika ditemui berkata, anak-anak muda yang terdedah dengan gejala sosial seperti ‘mat rempit’ harus mencontohi aktiviti seperti ini kerana ia antara aktiviti yang sihat dan menyeronokkan.

“Kita tidak patut menyalahkan ‘mat rempit’ 100 peratus dalam perkara ini. Kerajaan sepatutnya mengambil perhatian terhadap masalah remaja dan mengambil langkah-langkah penyelesaian mengatasi masalah ‘mat rempit’ selain mengadakan sekatan jalan raya.

“Saya seru kepada kerajaan agar menyediakan tempat khas untuk penunggang motorsikal bermain dan beraksi dengan sihat. Contohnya seperti permainan golf, bola sepak, sepak takraw dan sebagainya mempunyai padang dan gelanggang tersendiri.

“Ini adalah cara yang terbaik untuk mengatasi masalah ‘mat rempit’ selain mengadakan sekatan jalan raya yang kurang mengatasi masalah tersebut.” katanya ketika ditemui.

Sebelum pelepasan untuk berkonvoi, peserta-peserta telah menerima tajaan sarapan pagi dari stesen minyak Petronas Autocity.

Pengusaha Stesen Minyak Petronas Cawangan Autocity, Effendy Abdul Hak ketika ditemu bual berkata, jumlah tajaan untuk peserta-peserta konvoi ini mengambil kos sebanyak RM1000.

“Sebagai umat Islam, wang ringgit tidak menjadi alasan dan penghalang kepada saya untuk berkhidmat kepada masyarkat.

“Kita patut contohi Syarikat SYM kerana ia merupakan satu-satunya ahli perniagaan yang sanggup bertanggungjawab terhadap produk mereka dengan mengadakan aktivit beramal.” Katanya.

February 10, 2011

PAS & PKR Padang Serai Adakan Demonstrasi Depan Pejabat Gobala

Padang Serai-

Desakan supaya Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan melepaskan jawatan beliau sebagai wakil rakyat kawasan tersebut memuncak apabila sebahagian besar dari pengundi dan penyokong Ahli Parlimen tersebut mengadakan demonstrasi aman di hadapan pejabat beliau di hadapan Taman Kobis, Jalan Paya Besar, Lunas baru-baru ini.

Demonstrasi aman yang bermula seawal jam 8 pagi turut mendesak Gobala supaya bersikap ‘gentleman’ dan profesional supaya melepaskan jawatan yang disandang oleh beliau semasa mendapat sokongan dari Pakatan Rakyat (PR).

Menurut Yang Dipertua PAS kawasan Padang Serai, Ustaz Mohd Fauzi Tahir yang berucap pada pagi tadi, turut mendesak Gobala supaya berundur dengan cara hormat.

“Dulu beliau melompat dan lantang membantah tindakan Adun Lunas, Radzhi Salleh yang menjadi wakil rakyat Bebas. Kini apabila beliau sendiri bercakap tidak serupa bikin, maka tunjukkan kejantanan beliau, memang beliau berani melepaskan jawatan.

“Jika benar beliau tidak mempunyai agenda tersembunyi kenapa tak nak letak jawatan sebagai Ahli Parlimen. Letak dan undur.

“Kita adakan pilihan raya kecil. Tengok dan lihat. Apakah beliau akan dapat sokongan semula atau kecundang atas tiket Bebas. Saya harap beliau berani menerima cabaran ini.” katanya.

Manakala Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Padang Serai, Rohaya Yusof yang ditemui turut melahirkan rasa kecewa beliau dengan tindakan Gobala mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.

“Kami yang mendokong beliau. Kami juga yang membantu beliau untuk memenangi kerusi Parlimen Padang Serai pada tahun 2008 yang lalu. Kini beliau bukan lagi wakil rakyat yang kami sokong.

“Oleh itu sahutlah cabaran pengundi kawasan ini, supaya lepaskan jawatan sebagai wakil rakyat. Berikan mandat kepada pengundi kawasan ini untuk meletakkan kedudukan sebenar beliau samada masih diterima atau tidak dalam kawasan ini.” tegasnya.

Para peserta penunjuk perasaan turut membawa sepanduk yang pelbagai mengutuk dan mendesak Gobala supaya berundur.

Antara sepanduk yang dibawa berbunyi ‘ Jangan tipu pengundi’, ‘ Jangan jadi barua politik’, ‘Padang Serai bukan hak MP bebas’, ‘MP gila wang tak layak jadi pemimpin’ dan sebagainya.

Pihak polis turut membuat sekatan jalan raya berhadapan jalan masuk ke Taman Kobis, Paya Besar dimana demonstrasi aman diadakan.

February 5, 2011

‘Swapping’ Bolehkan Siam Milik Rumah?

Alor Setar-

Rakyat keturunan Siam juga merupakan Bumiputera tetapi mengikut undang-undang mereka tidak dibenarkan untuk membeli rumah yang dibina di atas tanah rizab melayu.

Undang-undang ini bukan diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Kedah tetapi telah tersedia ada sebelum Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pemerintahan dan pentadbiran oleh Barisan Nasional (BN). Kerajaan negeri hanya meneruskan pelaksanaannya semasa pemerintahan oleh BN dahulunya.

Demikian yang dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Ir Phahrolrazi Haji Zawawi ketika dihubungi.

“Tanah rizab melayu merupakan 100 peratus milik keturunan melayu. Sekiranya ia ditukar ke pegangan bebas (Free hold), baru lah peratusan akan di bahagikan sama rata iaitu 50 peratus untuk keturunan melayu dan 50 peratus selebihnya adalah terbuka.

“Hal ini kerana 50 peratus unit rumah di satu-satu taman perumahan yang dibangunkan merupakan pegangan bebas yang terbuka kepada sesiapa sahaja rakyat negeri kedah untuk membelinya, termasuklah Bumiputera berketurunan Siam.

“Kerajaan negeri tidak menafikan hak rakyat keturunan Siam untuk membeli rumah di Kedah.” Katanya.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar harian yang mengatakan segelintir penduduk keturunan Siam dalam Daerah Padang Terap tidak dibenarkan membeli rumah di Taman Seri Naka.

Laporan akhbar itu juga menyebut beberapa orang penduduk keturunan Siam di daerah Padang Terap tidak dibenarkan membeli rumah kerana tapak perumahan itu adalah tanah rizab melayu dan mereka menggesa kerajaan mengkaji semula undang-undang itu.

“Kerajaan negeri akan mengkaji isu ini dan kes yang berbangkit boleh diselesaikan dengan baik.

“Mereka yang berketurunan Siam boleh membeli rumah berkenaan dan kerajaan negeri akan melakukan ‘swapping’ bagi unit-unit rumah yang mereka beli dan akan diganti di tempat lain.” Terangnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Kundor berkata, kaedah ‘swapping’ ini akan dilaksanakan untuk menangani kes-kes tertentu sahaja seperti menyelesaikan kes penduduk keturunan Siam untuk membeli rumah.

“ini bukanlah isu yang baru kerana rakyat keturunan Siam tidak dianggap sebagai Melayu walaupun mereka adalah Bumiputera dan mereka tidak berhak memilik tanah rizab melayu.

“Ini merupakan undang-undang yang telah tersedia ada. Mereka tidak boleh membeli atau memiliki tanah, rumah atau kebun atas tanah rizab melayu.” Jelasnya.

Penduduk keturunan Siam boleh membeli rumah yang dibangunkan atas tanah berstatus pegangan bebas di mana-mana tempat sekitar negeri kedah kerana sebahagian besar tanah di Kedah adalah pegangan bebas.

Jelas beliau lagi, status mereka sebagai Bumiputera sepatutnya tidak menghalang rakyat keturunan Siam daripada memilik rumah sendiri dan beliau bersedia berbincang untuk menyelesaikan masalah ini.

February 1, 2011

Sejarah Penting Membentuk Jati Diri Pelajar

Alor Setar-

Sejarah tempatan sangat penting dalam membentuk pelajar-pelajar agar mereka menjadi warganegara yang mempunyai jati diri yang tiggi dan berguna untuk masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan serta Kebudayaan, YB. Dr. Hamdan Mohamed Khalib berkata ia secara tidak langsung mampu meningkatkan kemahiran melalui kajian dan menulis esei.

“Pelajar-pelajar juga amat diharapkan dapat membantu menulis esei dengan lebih kreatif lagi terutama yang berkaitan dengan tokoh dan asal-usul nama kampung di Negeri Kedah.” Katanya.

Beliau ditemui di perkarangan Muzium Negeri Kedah semasa majlis penyampaian hadiah pertandingan Menulis Esei Sejarah Tempatan Sekolah-sekolah Menengah Daerah Kota Setar baru-baru ini.

Pertandingan ini merupakan anjuran Biro Kebajikan dan Penerangan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Lembaga Muzium Negeri Kedah, dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Setar.

Tegas beliau lagi, objektif pertandingan itu diadakan adalah untuk meningkatkan prestasi pelajar dalam sejarah di samping meningkatkan mutu  pencapaian akademik individu  dan sekolah.

Dr. Hamdan menegaskan lagi, secara umumnya pertandingan itu diadakan adalah untuk meningkatkan kefahaman pelajar-pelajar terhadap sejarah tempatan masing-masing. Ia juga berupaya menanam minat di kalangan pelajar terhadap sejarah tanah air khususnya sejarah di Negeri Kedah.