Archive for March, 2011

March 30, 2011

Thamby Chick bukan ahli UMNO?

“BERPOLITIK BIARLAH DENGAN CARA YANG BERMORAL”

Permatang Pauh-

Kenyataan Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek yang mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan kebenaran dakwaan terlibat dalam video seks yang sering dibangkitkan oleh media massa telah diselar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Beliau menegaskan bahawa, Soi Lek merupakan individu yang tidak mempunyai nilai moral yang tinggi kerana terbukti beliau pernah terlibat dalam video seks sebelum ini memang tidak layak untuk berbahas mengenai isu ini kecuali beliau adalah orang yang bersih.

“Siapa Soi Lek untuk mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengesahkan watak pelakon dalam video seks tersebut adalah bukan Anwar.

“Jika beliau seorang yang berpengalaman dan imej diri telah tercemar, adakah beliau layak untuk bertanya sedemikian? Kerana beliau juga lah imej Parti MCA telah tercemar.

“Hanya seseorang yang mempunyai nilai moral yang tinggi sahaja yang layak untuk bertanyakan seperti ini kepada Anwar Ibrahim.” Katanya semasa berucap dalam ceramah penerangan Isu Fitnah III dekat Permatang Pauh, baru-baru ini.

Lim turut menyelar kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib kerana mendakwa UMNO tidak mempunyai kaitan dengan isu video seks tersebut.

“Jika UMNO tidak terlibat, apakah Tan Sri Rahim Thamby Chick ini bukan ahli UMNO? Bila pula dia keluar UMNO?.” Katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, berpolitik biarlah dengan cara yang bermoral serta berakhlak tinggi, bukannya dengan menjadikan konspirasi yang tidak sudah-sudah semata-mata untuk membenamkan kebangkitan Anwar Ibrahim untuk merampas semula tampuk pemerintahan negara.

March 24, 2011

umno-online Buat Cetak Rompak.

UMNO ONLINE BUAT CETAK ROMPAK GAMBAR

Pulau Pinang-

Penulis blog Media Wahana (MW) terkejut kerana gambar yang ditangkap menggunakan kamera sendiri tiba-tiba boleh dijadikan hak milik umno-online.com tanpa meminta kebenaran bertulis.

Gambar yang ditangkap wartawan MW pada 19 Februari 2011 yang lalu sempena himpunan 30 Ribu Pemuda PAS, di Kompleks PAS Alor Setar, Kedah telah di ‘cetak rompak’ tanpa kebenaran bertulis atau lisan daripada pihak MW.

“umno-online telah menggunakan gambar yang saya tangkap tanpa meminta kebenaran daripada saya mahupun Media Wahana. Walaupun saya hanya penulis blog, tetapi umno tidak patut menggunakan kuasa yang ada untuk membuat cetak rompak.

GUNA GAMBAR MEDIA WAHANA DAN LENSAFAKHRI90 TANPA KEBENARAN

“Mereka hanya pandai bercakap kosong seperti membanteras gejala CD,VCD, DVD cetak rompak. Tetapi mereka sendiri yang membuat cetak rompak.

“Saya harap penulis berita dalam umno-online.com Ropika Ahmad tampil memberi penjelasan dan meminta maaf kerana telah membuat cetak rompak daripada Media Wahana.”Katanya.

Pengarah Media Wahana memberi amaran keras kepada setiap individu jangan cuba membuat ‘cetak rompak’ sebarang artikel mahupun gambar tanpa meminta kebenaran bertulis daripada Media Wahana.

“Saya tahu mereka mempunyai kuasa, duit, dan ilmu yang tinggi, tetapi mereka tidak wajar dalam menjadikan hak milik Media Wahana sebagai milik mereka yang mutlak.

“Media Wahana pada mulanya dikenali sebagai fakhri90.blogspot. Setelah mendapat tarikan pembaca dan minat yang mendalam oleh rakyat malaysia, laman ini telah dinaik taraf kepada Media Wahana.blogspot.

“Media Wahana turut mempunyai sebuah lagi laman web yang menyiarkan berita-berita politik di lensafakhri90.wordpress.com sekitar utara.

“umno-online telah menggunakan gambar kami dalam artikel bertajuk ‘Pas Bukan Demokrasi Tapi ‘Democrazy’, Dulu Reformasi, Kini Laung Revolusi’ bertarikh 26 Februari.

“Ini merupakan kali pertama dan pihak pertama yang membuat ‘cetak rompak’ dari Media Wahana dan lensafakhri90 tanpa meminta kebenaran walaupun telah tercatat ‘Tidak dibenarkan membuat salinan mana-mana bahagian dalam blog ini tanpa kebenaran MW’.” Katanya.

March 24, 2011

Ambil Tindakan Undang-undang Terhadap Datuk T

DATUK T BERSALAH TAYANG VIDEO LUCAH KEPADA UMUM: MB KEDAH

Alor Setar-

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengesa pihak berwajib mengambil tindakan dengan mengawal tindak tanduk Datuk T kerana telah mengajak media menonton rakaman video seks yang didakwa dilakukan pemimpin pembangkang, bukannya mengalih pandangan kes itu terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Polis perlu mengambil tindakan terhadap Datuk T atas dakwaan menyebarkan video lucah kepada umum kerana ia menyalahi undang-undang.

“Saya cadangkan ambil tindakan undang-undang untuk Datuk T kerana telah sebarkan bahan lucah termasuk individu yang menonton video itu. Jika ikut undang-undang, individu yang menayangkan bahan lucah termasuk yang menonton juga salah.

“Saya hairan kenapa isu ini tiba-tiba sahaja dibangkitkan termasuk dakwaan Ummi Hafilda Ali yang mendedahkan terdapat 18 rakaman video lucah membabitkan individu yang sama.

“Setiap kali menjelang pilihan raya, ada sahaja cerita seperti ini disebarkan pihak tertentu. Skandal sana skandal sini, entah betul entah tidak.

“Saya tidak nafikan isu-isu skandal negatif seperti ini sering kali dibangkitkan apabila pilihan raya diumumkan, kemungkinan ia bertujuan untuk menjejaskan reputasi Pakatan Rakyat (PR).

“PELAKU ADEGAN VIDEO LUCAH MIRIP ANWAR TETAPI TUBUHNYA BERBEZA”

“Kes-kes macam ini biasanya panjang ceritanya. Kita tidak tahu situasi sebenar namun saya yakin kebenaran akan terbukti juga. Mereka mendakwa wajah pelaku adegan video lucah itu mirip Anwar tetapi tubuhnya berbeza, jadi tidak semestinya orang itu adalah Anwar.” Katanya pada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, baru-bari ini.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, kenyataan Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim yang menyarankan supaya Pas mengkaji semula hubungan pakatan dengan PKR kerana isu itu, hanyalah satu tindakan mahu mengheret Pas dalam kancah dendam antara dirinya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Jika Zaid Ibrahim bergaduh dengan PKR, tak perlu lah nak babitkan pemimpin parti lain pula. Jadilah seorang pemimpin yang berani dan ‘gentelman’.

“Seseorang yang dituduh salah adalah tidak bersalah selagi ia tidak terbukti melakukan kesalahan.” Jelasnya.

Tambah beliau lagi, Kenyataan Zaid itu adalah kenyataan yang tidak bijak dan seolah-olah mahu menghasut pemimpin lain supaya bermusuh dengan PKR.

“Apa juga andaian atau dakwaan kita tidak boleh gunakan sebagai fakta. Kita ada mahkamah, biarlah mahkamah yang tentukan dengan adil. Ini bukan hak individu untuk menentukan salah atau betul.” Katanya.

March 22, 2011

Kedah Bebas Rasuah

4 NEGERI PAKATAN RAKYAT BERSIH TANPA RASUAH

Alor Setar-

YB. Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana PAS telah berjaya mempertahankan pemerintahan negeri Kedah selama tiga tahun serta sanggup menempuh segala kesusahan dan kepayahan untuk mengelak segala tohmahan dari pihak pembangkang.

“Kita berjaya memimpin negeri Kedah selama tiga tahun dengan membuktikan pemerintahan sebuah kerajaan yang bersih tanpa rasuah. Selain itu, negeri Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor juga kita isytiharkan sebagai negeri bersih tanpa rasuah.

“Pemerintahan PAS adalah berdasarkan ajaran Islam, bersih dari amalan rasuah dan tiada pemisah antara agama dan politik kerana Islam mengajar politik sebahagian agama yang ada perhitungan dosa dan pahala.” Katanya semasa Forum Kemasyarakatan sempena Sambutan Tiga Tahun Kedah Sejahtera dekat Stadium Darulaman.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan, manusia tidak boleh menentukan ahli syurga dan neraka kerana yang menentukan hal itu hanya Allah.

Katanya lagi, Nabi Muhammad bukan sahaja mengajar sembahyang, puasa, menunaikan zakat dan haji, malah baginda turut menunjukkan contoh yang terbaik untuk mentadbir negera dengan betul dan adil kerana ada perhitungan dosa dan pahala di akhirat kelak.

“Pemerintahan di empat negeri Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya memperkenalkan ajaran Islam dan menjadikan politik sebagai sebahagian daripada ajarannya dalam masa yang sama mengajar orang Islam mengamalkan politik Islam.

“Saya rasa umat Islam sendiri tidak faham dan telah meninggalkan ajaran ini dalam politik sebagai tali yang mengikat ajaran Islam telah dirungkai dan dirombak.

“Apabila dirombak dan dirungkai ajaran berkait hukum dan pemerintahan, orang-orang Islam akan berselerak dan simpulan ajaran Islam ialah sembahyang.

“Hari ini ajaran berkait dengan pemerintah politik Islam diabaikan dan masyarakat Islam jadi hanyut.

“Penjajah sudah lama pergi tetapi orang Islam hilang jati diri dan kekuatan dalam amalan politik yang diamalkan pemimpin Islam dalam negara Islam termasuklah di Malaysia pada hari ini yang masih mengamalkan politik zaman penjajah.

“Kita mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengembalikan fahaman orang Islam kepada politik Islam yang sebenar.” Jelasnya.

Tambah beliau lagi, rakyat kini hanya faham projek-projek dan pembangunan yang perlu dilaksanakan namun ada rakyat yang tidak faham ia adalah adat kepada sesiapa yang memerintah tidak kiralah dari parti komunis sekalipun.

Yahudi Israel juga menyediakan pembangunan dan kemudahan untuk rakyatnya tetapi yang perlu difahami ialah menunaikan amanah kepada rakyat dan menguruskan harta rakyat dengan betul.

March 18, 2011

Facebook Ancam Keselamatan?

FACEBOOK TAWAR KHIDMAT TIDAK BERMORAL?

Bukit Mertajam, Pulau Pinang-

Seorang pemilik akaun laman sosial facebook kini trauma untuk menjawab sebarang panggilan telefon yang tidak dikenali setelah beliau terkejut kerana rata-rata yang menghubunginya hanya meminta khidmat yang tidak bermoral.

Nur Hafizah Amir, 25, berkata, “saya menerima lebih 20 panggilan setiap hari sejak 2 Februari lalu daripada ramai lelaki yang meminta saya untuk melayani nafsu seks mereka.

“Sudah puas saya mengatakan orang yang mereka cari itu bukan saya, tetapi mereka masih tetap berdegil mengganggu saya terutama pada waktu tengah malam.

“Semua lelaki yang menelefon itu memanggil saya dengan panggilan Puteri Farah, sedangkan saya langsung tidak mengenali sesiapa dia.

“Selepas mendapat maklumat itu, saya cuba memberanikan diri untuk bertanyakan mereka dari mana mereka mendapat nombor saya. Seorang daripada mereka memberitahu mendapat nombor saya dari laman sosial facebook yang menggunakan nama Puteri Farah.

“Ketika saya membuka laman sosial berkenaan pada 5 Februari lalu, saya terkejut kerana maklumat peribadi dan gambar yang diletakkan bukan diri saya.

“Saya amat malu dan kecewa kerana nombor telefon dan nama samaran yang dipaparkan di laman sosial itu adalah milik saya yang cuba di perguna oleh individu yang tidak dikenali.

“Setelah hampir setahun saya mempunyai akaun facebook, saya tidak pernah meletakkan nombor telefon di laman sosial itu sedangkan ada pihak yang tahu nombor telefon saya. Ini mungkin ada pihak yang mengenali diri saya dan cuba untuk memalu dan menjatuhkan maruah saya.” Katanya semasa ditemui di sebuah pasaraya dekat Bukit Mertajam.

Tambahnya lagi, individu terbabit turut memaparkan gambar seorang perempuan seksi bagi menarik perhatian orang ramai.

Beliau yang tertekan dengan keadaan itu mengambil langkah keselamatan untuk membuat aduan secara dalam talian dengan menghubungi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada malam 5 Februari lalu.

Beliau mengharapkan agar SKMM dapat menyelesaikan masalah itu secepat mungkin, tetapi jawapan yang diberikan oleh pihak SKMM adalah sebaliknya.

“Mereka (SKMM) memberitahu tidak dapat membantu saya mengesan individu yang membuka akaun Puteri Farah itu dan memberikan pelbagai alasan untuk tidak membantu.

“Mustahil mereka tidak dapat mengesan individu yang membuat akaun facebook tersebut, padahal lambakkan individu yang membuat fitnah dan tohmahan dalam blogger boleh pula dikesan mereka dengan cepat dan pantas.

“Saya kecewa dengan sikap mereka (SKMM) yang melayani saya seperti ini. Mereka sepatutnya adil dan berintegriti dalam melaksanakan tugas dan tidak hanya memilih aduan ahli politik dan orang berkedudukan tinggi sahaja.” Katanya.

Beliau yang kecewa dengan jawapan yang diberikan SKMM terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di Bandar Perda, dekat Bukit Mertajam pada 7 Februari lalu. Namun pihak Polis turut mencadangkan untuk melaporkan hal itu kepada SKMM.

“Tindakan yang paling mudah adalah menukar nombor telefon baru, tetapi ia masih tidak cukup bagi saya kerana saya mahukan pembelaan selain mengetahui siapa individu berkenaan yang sanggup melakukan perkara terkutuk ini.

“Saya mahu individu terbabit terima balasan yang setimpal atas perbuatannya selain membersihkan kembali nama baik serta maruah saya yang telah tercemar.” Jelasnya.

KESAL SKMM ENGGAN TERIMA ADUAN : SAKSI

Hairi, 27, saksi kejadian ketika ditemui turut mengeluh rasa kesal atas tindakan pihak SKMM yang tidak mahu menerima aduan kekasihnya yang menjadi mangsa jenayah siber.

“Saya amat kesal dengan tindakan pihak SKMM. Mereka sepatutnya menerima semua aduan berkaitan komunikasi dan multimedia yang dibuat, bukan hanya memilih aduan dari kalangan ahli parti politik dan berkedudukan tinggi sahaja.

“Individu yang membuat fitnah demikian juga seharusnya lebih tahu akan hukum agama kerana menfitnah itu adalah berdosa besar apatah lagi menawarkan khidmat seks.

“Bagi pandangan peribadi, saya mencadangakan laman sosial facebook dapat di nyah hapuskan seperti yang diwawarkan dalam media cetak.

“Laman sosial Facebook inilah bemulanya segala masalah termasuk masalah penceraian suami isteri dan kematian akibat bunuh diri kerana cinta seperti yang berlaku di luar negara.

“Sekiranya laman sosial facebook dapat di nyah hapuskan, saya jamin segala masalah di dalam negara mahupun di luar negara dapat diselesaikan.” Katanya.

March 12, 2011

PAS Berjaya Tadbir KEDAH Genap Tiga Tahun

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak

“TADBIR KEDAH 3 TAHUN BUKAN 3 BULAN”

Alor Setar-

8 Mac merupakan tarikh keramat bagi Pakatan Rakyat (PR) dibawah pimpinan PAS kerana telah berjaya menakluki negeri Kedah genap tiga tahun pemerintahan setelah menanti lebih 53 tahun untuk menewaskan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beliau amat bersyukur kerana selama tiga tahun pemerintahan PAS di negeri Kedah, tidak ada perkara yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri telah membebankan rakyat.

“Walaupun masih terdapat beberapa perkara yang belum memuaskan hati saya, tetapi pelaksanaannya masih berjalan lancar. Contohnya seperti projek mega, loji penapisan minyak Hab Hidrokarbon Sungai Limau (SULIHH) yang dirancang masih belum menjadi kenyataan kerana projek terbabit mempunyai banyak halangan kerana kerajaan negeri bekerjasama dengan pihak luar.

“Tugas pertama yang saya buat setelah dilantik menjadi Menteri Besar kedah adalah menyelamatkan tanah rakyat yang dipenuhi sawah padi telah dikorbankan menjadi kawasan Industri penapisan minyak di Sungai Limau. Ini menjadi kenangan paling manis buat saya sebaik dilantik menjadi Menteri Besar Kedah pada 2008.

“Baru-baru ini pula saya telah berjaya menghantar seramai 835 pelajar Kedah untuk pulang melanjutkan pelajaran di Mesir yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kedah.”

Katanya semasa sidang media selepas merasmikan genap tiga tahun pemerintahan negeri Kedah di Kompleks PAS, Alor Setar. Tambah beliau lagi, sepanjang memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kedah, hubungan beliau bersama pegawai kerajaan yang belainan parti politik sentiasa mendapat kerjasama baik.

“Walaupun parti politik yang memerintah kerajaan tetapi bukan bermaksud pegawai kerajaan bekerja dengan parti politik, tetapi bekerja dengan kerajaan. Silapnya UMNO dulu, mereka suruh orang kerja dibawah parti politik. Ini menunjukkan kedangkalan fahaman politik UMNO dalam kalangan pemimpin UMNO.

“Kita bebas membenarkan pegawai kerajaan memilih parti politik masing-masing, Cuma jangan sampai melanggar etika bekerja. Saya harap semua kakitangan bekerja secara profesional dan patuh kepada arahan saya agar memudahkan kerja di setiap jabatan.

“Tumpuan utama kita adalah untuk mencapai apa yang belum kita laksanakan. Kita tidak akan ubah apa-apa dasar tetapi kita akan membuat penambahbaikan terutama dalam agenda pembangunan dan pentadbiran.

“Hal utama kita akan tumpu ialah pembinaan kampus induk Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil, program pertanian bawah Kedah Agro dan projek industri hiliran asas tani bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK). Projek yang dijangka bermula julai ini membolehkan kita membeli hasil tani penduduk untuk diproses di pusat pengetinan hasil pertanian di Sungai Petani.

“Kedah juga bakal menjadi pengeluar nanas terbesar di Malaysia tahun ini apabila daerah Sungai Petani dan Kubang Pasu dibangunkan ladang nanas. Rakyat usahakan dan Kerajaan Negeri akan pasarkan, projek dibawah Perbadanan Menteri Besar (MBI). Hasilnya akan dapat dituai dalam tempoh 11 bulan akan datang.

“Kita juga dalam perancangan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik dengan kerjasama PKNK. Saya harap penglibatan pihak swasta dalam projek-projek Kerajaan Negeri dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada semua rakyat.” Terangnya.

Beliau turut menjelaskan beberapa isu yang dimainkan oleh pihak pembangkang sepanjang tiga tahun lalu tidak menjejaskan prestasi beliau untuk menjalankan kewajipan sebagai Menteri Besar Kedah, biarpun ada pihak cuba mencalarkan imej PR termasuk membangkitkan isu banjir dan kenaikan tarif air.

Tambahnya lagi, biarpun UMNO melancarkan gelombang merah, PAS tidak perlu lancar apa-apa gelombang pun dan perkara itu tidak menggugat kedudukan PR.

“Dulu UMNO cabar saya hanya mampu tadbir Kedah hingga tiga bulan, tetapi sekarang dah masuk tiga tahun. Sekaran UMNO yang kucar kacir dan mereka masih tidak dapat menyusun barisan kepimpinan, malah krisis demi krisis melanda parti itu.

“Jadi gelombang merah bukan ancaman pada saya. Pihak lawan masih tidak dapat menembusi tembok pertahanan saya sebab semua masalah dapat diselesaikan dengan baik. Jadi saya tak rasa tergugat dengan program atau kempen UMNO.

“Sasaran politik kita pada tahun ini adalah untuk membuat persiapan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-13 selain mengemas kini jentera pilihan raya sedia ada.

“Usaha lain ialah meningkatkan kerjasama dalam PR untuk menangkis segala tuduhan BN yang tidak beretika seperti menggunakan media massa untuk kepentingan politik mereka. “Jika rakyat marah depa kata rakyat ganas, tapi bila depa marah tak apa pula.”Katanya.

Beliau menegaskan bahawa sehingga kini maklum balas rakyat terhadap PR dan Kerajaan Negeri dibawah pimpinan PAS amat memberangsangkan.

March 3, 2011

Pemain Bola Sepak Kedah Terima Ganjaran

RM5000 SETIAP SEORANG

Alor Setar-

Kejayaan pemain bola sepak yang beraksi cemerlang mengharumkan nama negara sekaligus menjulang Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini tidak pernah dilupakan, sebaliknya mereka telah diberi ganjaran berupa wang sebanyak RM5000 bagi setiap seorang.

Lima pemain bola sepak yang terpilih untuk menerima ganjaran ini ialah Khyril Muhymeen Zambri, Amar Rohidan, Khairul Helmi Johari, Mohd Sabre Mat Abu dan Faizal Abu Bakar.

Turut menerima ganjaran yang sama adalah Penolong Jurulatih Pasukan Negeri Kedah, Tan Cheng Hoe yang merupakan anak tempatan negeri Kedah serta pernah beraksi untuk skuad negeri Kedah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, ganjaran yang diberikan itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada pemain bola sepak negeri kedah yang berjaya mengharumkan nama negeri dan negara ke peringkat antarabangsa.

“Kita berikan ganjaran kepada mereka RM5000 setiap seorang sebagai tanda penghargaan atas kejayaan mereka merangkul Piala Suzuki AFF 2010 baru-baru ini.

“Mereka juga telah mencatat rekod yang terbaik kerana pernah beraksi dalam Sukan Asia 2010 di Guangzhou, AFF Suzuki 2010, Liga Super dan Piala FA.

“Saya amat berharap kelima-lima pemain yang kita pilih ini dapat melipatgandakan usaha mereka dalam bidang sukan bola sepak dengan menggunakan sebaik mungkin kemudahan yang ada seperti di England.

“Setelah mereka dapat ganjaran ini, harap mereka akan bermain bersungguh-sungguh untuk skuad Kedah supaya Kedah akan muncul sebagai juara kepada masa akan datang.” Katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berkata, tidak mustahil untuk pasukan negeri kedah bangkit dari kedudukan kelapan dalam Liga Super 2011 sekaligus akan menjuarai Liga Super pada musim ini.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri belum membuat sebarang keputusan untuk memberi ganjaran berupa lot tanah kepada pemain negeri Kedah yang beraksi cemerlang.