Bekas Pembantu Khas ADUN dipenjara

Georgetown-

Bekas Pembantu Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Mohamad Idrus Abdullah, dipenjara sebulan dan denda RM5,000 selepas didapati bersalah memecah masuk dan mencuri pelbagai barangan milik seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), September tahun lepas.

Majistret Noor Aini Yussof memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula 31 Mac 2011 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim.

Dalam pertuduhan yang sama, Mohamad Idrus didakwa memecah masuk rumah Jamal Mohamed Abdul Rahman pada 16 September 2010 dan mengambil beberapa barangan berharga milik mangsa.

ROMPAK RUMAH PENSYARAH USM

Tertuduh dipercayai telah mengambil dua jam tangan, sebilah pisau serba guna berjenama Swiss, dua bentuk cincin, dua lampu picit dan satu alat permainan elektronik berjenama Sony.

Beliau melakukan kesalahan tersebut kira-kira jam 6 pagi dan didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Tertuduh dalam perbicaraan mengakui melakukan perbuatan tersebut kerana tertekan akibat hutang dengan ah long dan terpaksa berhenti kerja akibat beberapa masalah lain termasuk penagihan dadah.

Namun dalam rayuannya, Mohamad Idrus yang diwakili peguam, K Thangesvaran memohon agar hukuman diringankan kerana mengalami pelbagai penyakit termasuk masalah urat saraf selain memiliki seorang anak kelainan upaya (OKU).

Leave a comment