‘Swapping’ Bolehkan Siam Milik Rumah?

Alor Setar-

Rakyat keturunan Siam juga merupakan Bumiputera tetapi mengikut undang-undang mereka tidak dibenarkan untuk membeli rumah yang dibina di atas tanah rizab melayu.

Undang-undang ini bukan diwujudkan oleh Kerajaan Negeri Kedah tetapi telah tersedia ada sebelum Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pemerintahan dan pentadbiran oleh Barisan Nasional (BN). Kerajaan negeri hanya meneruskan pelaksanaannya semasa pemerintahan oleh BN dahulunya.

Demikian yang dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Ir Phahrolrazi Haji Zawawi ketika dihubungi.

“Tanah rizab melayu merupakan 100 peratus milik keturunan melayu. Sekiranya ia ditukar ke pegangan bebas (Free hold), baru lah peratusan akan di bahagikan sama rata iaitu 50 peratus untuk keturunan melayu dan 50 peratus selebihnya adalah terbuka.

“Hal ini kerana 50 peratus unit rumah di satu-satu taman perumahan yang dibangunkan merupakan pegangan bebas yang terbuka kepada sesiapa sahaja rakyat negeri kedah untuk membelinya, termasuklah Bumiputera berketurunan Siam.

“Kerajaan negeri tidak menafikan hak rakyat keturunan Siam untuk membeli rumah di Kedah.” Katanya.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar harian yang mengatakan segelintir penduduk keturunan Siam dalam Daerah Padang Terap tidak dibenarkan membeli rumah di Taman Seri Naka.

Laporan akhbar itu juga menyebut beberapa orang penduduk keturunan Siam di daerah Padang Terap tidak dibenarkan membeli rumah kerana tapak perumahan itu adalah tanah rizab melayu dan mereka menggesa kerajaan mengkaji semula undang-undang itu.

“Kerajaan negeri akan mengkaji isu ini dan kes yang berbangkit boleh diselesaikan dengan baik.

“Mereka yang berketurunan Siam boleh membeli rumah berkenaan dan kerajaan negeri akan melakukan ‘swapping’ bagi unit-unit rumah yang mereka beli dan akan diganti di tempat lain.” Terangnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Kundor berkata, kaedah ‘swapping’ ini akan dilaksanakan untuk menangani kes-kes tertentu sahaja seperti menyelesaikan kes penduduk keturunan Siam untuk membeli rumah.

“ini bukanlah isu yang baru kerana rakyat keturunan Siam tidak dianggap sebagai Melayu walaupun mereka adalah Bumiputera dan mereka tidak berhak memilik tanah rizab melayu.

“Ini merupakan undang-undang yang telah tersedia ada. Mereka tidak boleh membeli atau memiliki tanah, rumah atau kebun atas tanah rizab melayu.” Jelasnya.

Penduduk keturunan Siam boleh membeli rumah yang dibangunkan atas tanah berstatus pegangan bebas di mana-mana tempat sekitar negeri kedah kerana sebahagian besar tanah di Kedah adalah pegangan bebas.

Jelas beliau lagi, status mereka sebagai Bumiputera sepatutnya tidak menghalang rakyat keturunan Siam daripada memilik rumah sendiri dan beliau bersedia berbincang untuk menyelesaikan masalah ini.

Leave a comment