Archive for April, 2011

April 28, 2011

Jus Pink Guava Mampu Rawat Penyakit

5X GANDA OREN, 50X GANDA EPAL

Sungai Petani, Kedah-

Gold Tri Sunrise Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat tempatan yang diusahakan sepenuhnya oleh usahawan bumiputera yang mengeluarkan produk jus jambu batu merah atau lebih dikenali dengan nama Jus Pink Guava.

Pengurus Pengedar Cawangan Kedah, Ahmad Lufti, ketika ditemui berkata Jus Pink Guava mempunyai khasiat yang berlipat kali ganda berbanding, oren, strawberi, epal dan sebagainya.

“Jus Pink Guava ini mempunyai banyak kebaikan dan kelebihan kepada orang ramai, antaranya mengandungi vitamin C 5kali ganda berbanding Oren, 50kali ganda dari epal, mengandungi Lycopene (Anti Kanser), Kalsium dan banyak lagi.

“Semua orang harus mencuba produk ini kerana ia juga mampu merawat penyakit seperti kecing manis, asma, migrain, darah tinggi, gout, buasir, demam denggi, masalah jantung, cirit birit, kanser paru-paru, kaser payu dara dan sebagainya.

Kita tidak digalakkan mempercayai sepenuhnya produk ini mampu merawat penyakit, tetapi kita harus percaya bahawa setiap penyakit ada penawarnya dan akan sembuh dengan izin allah. Kita sebagai manusia hanya berusaha untuk mencari penawarnya disamping membantu orang ramai menjaga kesihatan.

“Jus Pink Guava juga telah mendapat pengitirafan beberapa pertubuhan kesihatan dunia termasuk WHO dan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).

“WHO juga telah mengiktirafkan jambu batu merah yang ditanam di Malaysia adalah paling terbaik berbanding tanaman di Afrika, Brazil, Indonesia, India dan Taiwan.

“Sehingga kini, Jus Pink Guava telah dieksport ke Dubai, Hong Kong, Indonesia, Singapura, Thailand dan yang terbaru bakal memasuki pasaran Eropah bermula di Jerman.” Katanya semasa ditemui di Pusat pengedar produk cawangan Kedah, dekat Sungai Petani.

Beliau yang mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan sejak 20 tahun yang lalu berkata, jus ini adalah 100 peratus asli dan tulen tanpa menggunakan bahan kimia, tanpa gula sukros, tanpa bahan pengawet, tanpa pewarna dan perisa tiruan.

“Malaysia mempunyai kelebihan dari segi iklim dan tanah yang sesuai bagi menghasilkan tanaman jambu batu merah yang sangat berkualiti ditambah pula dengan pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang dilaksankan oleh Sime Darby selaku pemilik ladang jambu merah terbesar dunia.

“Produk Jus Pink Guava boleh didapati dalam kotak 1 liter dengan harga RM17 setiap satu. Manakala untuk pembelian 12 kotak Jus Pink Guava boleh didapati dengan harga RM152.

“Kami juga mengamalkan kaedah pemasaran secara dagangan digabungkan dengan konsep pakatan iaitu syarikat mempelawa orang ramai untuk menjadi rakan niaga dan stokis serta membina rangkaian rakan niaga lain bagi tujuan pembahagian keuntungan.” Jelasnya.

Tambah beliau lagi, Syarikat Gold Tri Sunrise kini mempunyai 200 stokis diseluruh negara dan mensasarkan memiliki lebih 1000 stokis menjelang akhir tahun ini.

Gold Tri Sunrise telah berjaya melonjak hasil jualan antara 1 hingga 1.5 juta kotak sebulan dengan jualan kasar kira-kira RM15 juta.

Maklumat lanjut boleh hubungi Pengurus Pengedar Cawangan Kedah ditalian 012-4935791 dan 013-5382336 atau layari laman sesawang http://www.sunrise-guava.com.

April 21, 2011

SFT Berjaya Uji Mio100 di UniKL

Mio100 ADA KEHEBATAN TERSENDIRI!

Kulim-

Setiap hujung minggu semestinya semua orang ingin menghabiskan masa bersama keluarga disamping mengadakan aktiviti riadah, berkelah, membeli belah dan sebagainya. Tetapi amat berbeza dengan golongan yang amat meminati motosikal skuter berkuasa tinggi Sanyang Motor (SYM) yang baru dijual di Malaysia hampir genap usia empat tahun.

Kelab SYM Fans Team (SFT) menjadikan aktiviti konvoi sebagai satu aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama rakan dan ahli kelurga yang lain disamping melakukan kerja-kerja amal.

Pengerusi SFT, Ku Salim Ku Long ketika ditemui berkata, kali ini SFT akan mengadakan demo cara tunggangan motosikal yang betul dengan menggunakan skuter SYM Vts200, Mio100 dan moped Bonus110.

“Syarikat SYM meminta SFT menunjukkan cara tunggangan motosikal yang betul kepada orang ramai khususnya kepada golongan pelajar bagi mengelakkan mereka terdedah kepada gejala rempit dan perkara yang tidak berfaedah.

“Ahli-ahli SFT turut diminta membuat ujian tunggangan menggunakan motosikal Mio100 yang bakal dijual dipasaran tidak lama lagi.

“Saya amat terkejut kerana sungguh ramai orang yang ingin mencuba menunggang sendiri motosikal Mio100 ini selain ahli-ahli SFT kerana ia mempunyai kehebatan tersendiri disebalik bentuknya yang kecil dan comel.” Katanya semasa ditemui di perkarangan tapak demo SYM dekat UniKL, Kulim.

Beliau yang mula melibatkan diri dalam bidang permotoran sejak tahun 2009 tidak pernah rasa menyesal memilih motosikal skuter SYM.

Tambah beliau, motosikal SYM ini amat berbeza kehebatannya jika nak dibandingkan dengan motosikal lain. Perjalanan yang menjimatkan minyak menjadi punca utama beliau memilih SYM.

“Saya hanya perlu mengisi minyak RM25 sekali sahaja sehingga penuhi tangki untuk perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur. Sungguh menjimatkan minyak jika nak dibandingkan dengan tambang perjalanan ke Kuala Lumpur menaiki bas dan kereta sendiri.

“Saya menghabiskan duit hampir RM3000 untuk menghias motosikal dengan lampu-lampu, alarm, siren, dan banyak lagi. Kerana minatkan motosikal SYM, duit tidak menjadi beban kepada saya untuk menghiasi motosikal supaya nampak lebih cantik, menarik dan menjadi tarikan kepada sesiapa sahaja yang memandang motosikal SYM di jalan raya kelak.

“Saya nasihatkan kepada orang ramai supaya memilih motosikal skuter SYM kerana ia mempunyai kualiti yang tinggi, harga berpatutan dan mampu dimiliki, selesa untuk perjalanan jarak jauh dan menjimatkan minyak.” Katanya.

Ahli SFT, Asrul Effendi ketika ditemui berkata, tujuan utama kita mengadakan demo di UniKL adalah untuk mempromosikan motosikal SYM kepada orang ramai kerana penubuhan SYM di Malaysia baru mencecah usia empat tahun.

“Walaupun SYM telah 61 tahun di Taiwan, tetapi rakyat Malaysia kebanyakannya masih tidak tahu akan kewujudan SYM di Malaysia. Kita mengambil peluang ini bagi meningkatkan bilangan pembeli motosikal skuter SYM disamping dapat menambahkan ahli-ahli baru untuk turut serta dalam aktiviti konvoi pada masa akan datang.

“Perjalanan konvoi SFT ke UniKL bermula dari Seberang Jaya sebelum mengelilingi pekan Kulim sambil mengibarkan bendera UniKL sepanjang perjalanan. Kita kibarkan bendera UniKL bertujuan untuk memberitahu kepada orang ramai tentang aktiviti yang sedang dijalankan di UniKL bersama SYM.

“Saya yakin motosikal SYM akan memenuhi jalan raya seperti motosikal lain tidak lama lagi kerana harga yang berpatutan, kelajuan yang menjadi tarikan golongan muda, dan kualiti yang memuaskan para pembeli.” Jelasnya.

April 15, 2011

Beras Percuma Setiap Bulan: Rosidi

BUKAN DAPATKAN POPULARITI!

Kepala Batas-

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Rosidi Husein mengambil langkah kearah kesejahteraan rakyat dengan memberi beras secara percuma setiap bulan kepada 100 fakir miskin di DUN Penaga.

Tegas beliau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga merupakan DUN pertama di Pulau Pinang yang mengambil langkah ini selaras dengan tindakan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan di bawah Pimpinan PAS.

“Bila saya tengok kerajaan Negeri Kelantan berjaya melakukan program tersebut, saya cuba mencari dana yang mencukupi untuk membantu golongan fakir miskin di DUN penaga dengan memberi beras secara percuma bagi meringankan beban mereka.

“Tindakan saya ini bukan untuk mendapatkan nama dan populariti sebaliknya mahu memenuhi tanggungjawab sebagai seorang pemimpin di sebuah kerajaan negeri yang mementingkan kebajikan rakyat.” Katanya semasa ucapan pelancaran di Dewan Kelompok Padi, Kampung Lahar Kepar, dekat Pulau Pinang.

Tambah beliau, langkah yang dilaksanakan ini sebenarnya mampu mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara barisan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dengan rakyat negeri Pulau Pinang, serta mengambil peluang untuk mendengar keluhan dan menyelesaikan segala masalah rakyat.

“Ini merupakan langkah pertama PAS di DUN ini untuk memberi beras secara percuma setiap bulan, mungkin akan ada beberapa nama yang tercicir dari pemerhatian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK).

“Oleh demikian, mereka yang terpilih mestilah betul-betul daripada golongan yang daif dan tidak berupaya bekerja menampung pendapatan keluarga.

“Untuk memastikan program ini berjaya dilaksanakan dengan betul, semua JKKK harus menjadi telinga dan mata kerajaan negeri untuk menghidu dan keluhan dan masalah rakyat, bukan sekadar hanya mendapatkan nama-nama yang tercicir sehaja sebab kerja-kerja kebajikan harus dibuat dengan bersungguh-sungguh.” Katanya.

Beliau menegaskan, program tersebut akan diselenggara oleh penyelaras DUN bersama JKKK seluruh kawasan Penaga untuk menimbulkan kesedaran kemasyarakatan yang selama ini bergantung kepada UMNO kini sudah hampir tengelam dan pupus oleh arus gelombang politik negara.

Turut hadir dalam menjayakan majlis ialah Penasihat Mutiara Infaq, Zulkifli Md Lazim, Pengerusi Syarikat Tunas Indah Niaga, Zaini Hasan, bekas pelumba motosikal negara, Yaser Said dan Bekas penyanyi utama kumpulan rock Gamma, Blank.

April 14, 2011

SFT Konvoi Bantu Masjid di Thailand

SUMBANGAN RM1000 UNTUK MASJID DI BETONG

Seberang Jaya-

Setelah permintaan terhadap motosikal skuter berkuasa tinggi Sanyang Motor (SYM) Evo250i dan Vts200 yang dijual di Malaysia hampir 4 tahun meningkat berturut-turut, para pengguna tidak melepaskan peluang untuk menubuhkan sebuah kelab untuk mengeratkan silaturahim sesama rakan.

Kelab SYM Fans Team (SFT) yang ditubuhkan bermula pada tahun 2010, kini mula aktif mengadakan aktiviti konvoi disamping mengambil inisiatif untuk melaksanakan aktiviti amal bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan.

Penubuhan kelab SFT yang tidak mengambil kira jenis jantina dan bangsa membuatkan ahli-ahli kelab mesra ketika bersama dan mudah untuk bertukar pendapat.

Pada pertengahan bulan mac yang lalu, ahli-ahli SFT telah sebulat suara bersetuju untuk berkonvoi membantu penduduk kampung di Betong, Thailand.

Pelepasan aktiviti konvoi ini telah dirasmikan oleh Pengurus Besar SYM, Pallmon Neoh Kok Boon di perkarangan Petronas Seberang Jaya, dekat Pulau Pinang.

Ahli Jawatankuasa SFT, Asrul Effendi berkata, aktiviti ini dijalankan bertujuan untuk membantu umat islam di Betong yang mengalami masalah untuk menunaikan ibadah solat fardhu sejak tiga tahun yang lalu.

“Sebanyak 25 buah motosikal skuter SYM terlibat dalam aktiviti konvoi pada kali ini. Sasaran kita adalah membantu umat islam di Kampung Bantal Tunggal, Betong yang mengalami masalah terputus bekalan elektrik di Masjid sejak tiga tahun yang lalu.

“Saya difahamkan penubuhan masjid dikawasan ini adalah untuk mewakili 4 mukim disekitar kawasan berhampiran dan boleh memuatkan hampir 2700 jemaah pada sesuatu masa.

“Ahli-ahli SFT yang hadir turut menyertai majlis perasmian masjid tersebut yang telah dirasmikan oleh Pegawai Agama Daerah Betong, Haji Ismail Haji Mond Noh.

“Kelab SFT juga tidak melepaskan peluang untuk memberi sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM1000 kepada masjid tersebut bagi memudahkan umat islam menunaikan kewajipan ibadah solat.” Katanya.

Sebelum berangkat pulang ke tanah air, penduduk kampung dengan kerjasama Kelab SFT telah berjaya mengorbankan seekor lembu untuk dibuat kenduri kesyukuran tanda terima kasih kepada semua penduduk dan individu yang sedia membantu penduduk di Betong, Thailand, bagi membolehkan mereka melaksanakan kewajipan ibadah solat seperti biasa.

April 13, 2011

SYM Perkenal Skuter Model Baru

4SEN UNTUK 1KILOMETER

Bukit Mertajam-

Motosikal pada zaman kini kurang selamat digunakan untuk golongan wanita dan pelajar kerana mudah terlibat dengan gejala rompakan, ragut dan kemalangan ngeri. Berlandaskan peredaran zaman dan keadaan semasa, syarikat motosikal Sanyang Motor (SYM) mengambil langkah berjaga-jaga dengan mencipta sebuah motosikal skuter yang memenuhi ciri-ciri keselamatan pengguna.

Pengurus Besar SYM, Pallmon Neoh Kok Boon ketika ditemui berkata, Syarikat SYM bukan sahaja mengeluarkan produk yang menarik dan comel serta mesra pengguna, tetapi turut meningkatkan ciri-ciri keselamatan pengguna dan keselamatan motosikal untuk mengelakkan daripada dirompak oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“SYM telah berjaya mencipta sebuah lagi produk motosikal skuter mesra pengguna dengan kapasiti engine 100cc.  Motosikal yang comel serta tidak terlalu besar ini sesuai digunakan untuk semua golongan masyarakat khususnya golongan pelajar.

“Saya berani katakan demikian kerana motosikal SYM ‘Mio 100’ yang baru ini memenuhi ciri-ciri keselamatan yang dapat mengelakkan kejadian ragut, rompak dan kemalangan ngeri yang mempu meragut nyawa pengguna. ‘Mio 100’ juga sesuai digunakan untuk perjalanan yang dekat seperti di kampung dan pekan kerana menggunakan kapasiti engine yang tidak terlalu tinggi.” Katanya.

Beliau menegaskan bahawa, ‘Mio 100’ menggunakan konsep antik seperti vespa yang pernah mendapat permintaan yang amat tinggi pada zaman dahulu. Sehingga kini, SYM telah menerima tempahan sebanyak 150 unit motosikal SYM ‘Mio 100’.

“Saya amat yakin motosikal skuter SYM yang baru ini mampu bersaing dengan syarikat motosika skuter yang lain di Malaysia kerana SYM mementingkan ciri-ciri keselamatan, kualiti, dan kepuasan pengguna.

“Hampir 4 tahun penubuhan Syarikat SYM di Malaysia, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang merupakan peminat setia produk SYM dan menerima tempahan tertinggi setiap bulan.

“Bagi produk motosikal moped SYM ‘Bonus 110’ yang baru dilancarkan pada tahun lepas pula, permintaan paling tinggi dan mendapat galakkan pengguna adalah di Pulau Pinang.” Katanya semasa ditemui di kilang pemasangan produk Motosikal SYM, dekat Bukit Mertajam.

CEO Syarikat SYM, Tan Lean Heah ketika ditemui mengatakan bahawa, setiap motosikal SYM adalah mesra alam serta menjimatkan minyak. Buktinya, produk terbaru SYM ‘Mio 100’ hanya menggunakan 4sen untuk setiap 1kilometer.

Beliau mula melibatkan diri dalam bidang permotoran sejak berusia 15 tahun lagi ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulim, Kedah. Beliau yang hanya meneruskan pelajaran di luar negara tidak melepaskan peluang untuk menerokai bidang permotoran SYM yang telah ditubuhkan di Taiwan hampir 61 tahun.

“Untuk merasai kehebatan penggunaan motosikal SYM ‘Mio 100’, pengguna hanya perlu mengisi Petrol sehingga memenuhi tangki sebanyak 4.8liter.

“Pengguna yang gemar menggunakan motosikal moped harus mencuba untuk menggunakan motosikal skuter SYM kerana motosikal SYM menggunakan engine pertukaran gear secara automatik dan sesuai digunakan untuk menaiki jalan berbukit.

“Motosikal skuter SYM yang baru ini amat memenuhi cita rasa pengguna khususnya golongan pelajar kerana mempunyai ruang penyimpanan barang yang luas sesuai untuk menyimpan laptop, topi keledar, beg tangan dan sebagainya. Kelebihan ini mampu mengelakkan kejadian ragut dan rompakkan terhadap pengguna motosikal di jalan raya.” Katanya.

Tambah beliau lagi, ‘mio 100’ menggunakan paip ekzos yang mampu menapis asap sehingga pengguna tidak akan dapat hidu bau asap yang keluar melalui ekzos seperti motosikal yang lain.

“Sekiranya produk terbaru ini mendapat sokongan dan permintaan yang tinggi, mungkin syarikat SYM akan menubuhkan sebuah kelab ‘Mio 100’. Jika permintaan amat menggalakkan, kita akan adakan satu pertandingan untuk menghias motosikal masing-masing dan syaratnya mestilah hanya menggunakan motosikal SYM.

“Secara tidak langsung, ini akan memberi peluang pekerjaan kepada golongan bumiputra yang kebanyakannya lebih gemar dalam bidang grafik dan ICT untuk membuat rekaan corak terhadap produk motosikal SYM.

“Sehingga kini, ‘Mio 100’ mempunyai 5 pilihan warna yang menggabungkan dua warna kontra iaitu hitam putih, merah putih, biru putih, jingga putih, dan coklat putih. Pengguna juga akan merasai kehebatan yang luar biasa kerana ia menggunakan lampu teknologi seperti kereta yang mempunyai kecerahaan yang tinggi pada waktu malam.

“Pengguna yang berminat untuk membeli ‘Mio 100’ boleh dapatkanya disetiap pengedar yang terpilih di seluruh negeri dengan harga sekitar RM5000 sahaja. Harganya tidaklah terlalu mahal dan amat berpatutan sesuai dengan kualiti produk.” Jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa sekiranya berlaku kemalangan dijalan raya, pengguna yang menggunakan motosikal SYM ‘Mio 100’ ini akan kurang mengalami kecelakaan kerana dihalang oleh kepak motosikal skuter yang tebal dibahagian depan.

Tambahnya lagi, kaki penunggang juga akan selamat daripada hentaman yang kuat jika dilanggar melalui bahagian tepi kerana kaki penunggang akan diletakkan dihadapan dengan lantai berbentuk rata dan tebal.

“Motosikal SYM ‘Mio 100’ akan dilancarkan pada awal bulan 5. Sebelum dibawa masuk ke Malaysia, SYM telah mendapatkan kelulusan daripada TUV iaitu sebuah badan yang meluluskan produk automotive di Jerman.

“Nasihat saya kepada semua pengguna motosikal adalah anda semua harus mencuba menunggang motosikal skuter SYM kerana anda pasti tidak akan menyesal.

“Kelebihan produk SYM bukan sahaja mampu menjimatkan minyak petrol malah mempunyai ciri-ciri keselamatan yang baik untuk setiap penunggang motosikal.

“Saya pasti sekiranya anda menggunakan motosikal SYM, anda tidak akan kecewa dan pasti akan terus menggunakan motosikal SYM.” Katanya.

April 8, 2011

Bekas Pembantu Khas ADUN dipenjara

Georgetown-

Bekas Pembantu Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, Mohamad Idrus Abdullah, dipenjara sebulan dan denda RM5,000 selepas didapati bersalah memecah masuk dan mencuri pelbagai barangan milik seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), September tahun lepas.

Majistret Noor Aini Yussof memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula 31 Mac 2011 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim.

Dalam pertuduhan yang sama, Mohamad Idrus didakwa memecah masuk rumah Jamal Mohamed Abdul Rahman pada 16 September 2010 dan mengambil beberapa barangan berharga milik mangsa.

ROMPAK RUMAH PENSYARAH USM

Tertuduh dipercayai telah mengambil dua jam tangan, sebilah pisau serba guna berjenama Swiss, dua bentuk cincin, dua lampu picit dan satu alat permainan elektronik berjenama Sony.

Beliau melakukan kesalahan tersebut kira-kira jam 6 pagi dan didakwa di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Tertuduh dalam perbicaraan mengakui melakukan perbuatan tersebut kerana tertekan akibat hutang dengan ah long dan terpaksa berhenti kerja akibat beberapa masalah lain termasuk penagihan dadah.

Namun dalam rayuannya, Mohamad Idrus yang diwakili peguam, K Thangesvaran memohon agar hukuman diringankan kerana mengalami pelbagai penyakit termasuk masalah urat saraf selain memiliki seorang anak kelainan upaya (OKU).

April 8, 2011

Pulau Pinang Bakal Jadi Bandar Metropolis: PM

KERAJAAN PUSAT TIDAK PINGGIR KERAJAAN NEGERI

Balik Pulau-

Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, Pulau Pinang terpilih sebagai sebuah bandar Metropolis ketiga yang bakal dibangunkan oleh Kerajaan Pusat selepas Lembah Klang dan Johor Bahru.

“Pembangunan Metropolis bukan sahaja dapat meningkatkan pelaburan di Pulau Pinang malah menunjukkan bahawa Kerajaan Pusat tidak pernah meminggirkan Kerajaan Negeri walaupun dibawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

“Sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU), Khazanah Nasional Berhad dan Badan Pelaksana Koridor Utara (NCIA) akan menyerahkan laporan lengkap kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara mengenai hasil kajian dan pemerhatian yang telah dijalankan.

“Pulau Pinang merupakan sebuah kawasan yang amat strategik dan memiliki keunikan yang boleh dijadikan habpemodenan yang penting bagi negara.” Katanya semasa sidang media di Kampung Permatang Pasir, dekat Balik Pulau.

Beliau turut mengambil kesempatan memberi sumbangan RM1000 kepada tiga keluarga yang menetap di Air Itam  sejak 40 tahun yang lalu. Sumbangan tersebut diberikan sendiri oleh PM semasa lawatan sehari beliau di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Najib semasa lawatannya tidak melepaskan kesempatan untuk bertemu 258 pemilik gerai di astaka kawasan tersebut disamping mendengar masalah yang dihadapi dan menikmati hidangan nasi lemak dan air kopi digerai milik ah beng.

April 7, 2011

Kerajaan Negeri Hulur Bantuan

DAPAT 10% DARIPADA HARGA KEROSAKAN HARTA BENDA

Sungai Duri-

Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Nibong Tebal, Mohd Kamil Abu Bakar berkata, seramai 19 mangsa ribut di Taman Widuri dekat Seberang Perai Selatan (SPS) boleh menarik rasa lega apabila mereka telah menerima sumbangan atas bencana ribut yang menimpa mereka baru-baru ini.

Sumbangan penderitaan itu diberikan atas dasar keprihatinan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Persatuan Penduduk Taman Widuri dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Duri.

“19 keluarga yang menerima sumbangan ini akan mendapat 10 peratus daripada harga kerosakan harta benda masing-masing.

“Kerjasama daripada semua pihak telah berjaya meringankan beban yang ditanggung mangsa bencana walaupun jumlah sumbangan yang diberikan tidak terlalu banyak.

“Beberapa hari lalu, kita turut memberi bantuan bencana yang sama melalui Tabung Bencana Kerajaan Negeri kepada dua buah rumah mangsa ribut di Kepala Gajah dengan peruntukkan sebanyak RM1,300.” Katanya semasa ucapan perasmian menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Taman Widuri.

Tambahnya lagi, Taman Widuri telah mencatat jumlah rekod terbanyak seramai 50 penduduk menjadi mangsa bencana ribut.

“Kejadian ribut beberapa hari lalu telah mengakibatkan hampir 100 lebih buah rumah menjadi mangsa.

“Seramai 23 penduduk di kawasan Sungai Aceh yang menjadi mangsa bencana pula akan menerima sumbangan pada masa terdekat.” Katanya.

April 6, 2011

GLC Kedah Catat Keuntungan

PR BERJAYA BAIKI PRESTASI KEWANGAN

Alor Setar-

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Ir’ Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan negeri dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya memperbaiki prestasi kewangan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berbanding tahun-tahun yang lalu.

“Permodalan Kedah Berhad yang mengalami kerugian sebanyak RM555 ribu pada tahun 2008 telah berjaya mencatat keuntungan pada tahun 2009 sebanyak RM678,770 dan tahun 2010 sebanyak RM677,650.

“YIKED Holding Sdn Bhd (YHSB) yang juga sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak turut mencatat keuntungan yang amat memberangsangkan bagi tahun 2008 hingga 2010.

“Pada tahun 2005, YHSB mengalami kerugian sebanyak RM238 ribu, manakala pada tahun 2006 YIKED mendapat keuntungan sebanyak RM392 ribu.

“Pada tahun 2007 pula, YIKED Holding Sdn Bhd mengalami kerugian yang amat teruk sebanyak RM57 ribu.” Katanya semasa Sidang Dewan Negeri Kedah yang ke-12 dekat Wisma Darul Aman.

Beliau yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri melahirkan rasa syukur kepada hadirat ilahi kerana kerajaan negeri dibawah pimpinan PR telah berjaya meningkatkan keuntungan syarikat GLC pada tahun 2008 hingga 2010, masing-masing RM679 ribu, RM270 ribu dan RM570 ribu.

“Faktor kita berjaya meningkatkan keuntungan ini adalah disebabkan beberapa langkah yang diambil oleh pengurusan baru untuk meletakkan dasar kepada GLC supaya menghadkan pemberian sumbangan maksimum sebanyak RM1000 sahaja untuk setiap pemohon sumbangan.

“Kerajaan negeri turut mengurangkan sumbangan dan tajaan kepada pihak yang tiada kaitan dengan syarikat GLC.

“Perkara ini akan menyebabkan berlakunya kos penjimatan dan penurunan yang besar terhadap perbelanjaan am dan pentadbiran.” Katanya.

April 5, 2011

Sistem Kehakiman Negara Tercemar?

SIKAP SEBENAR BN CUBA MENGELIRUKAN RAKYAT

Kulim-

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenapa pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang terlibat dengan video lucah tidak didakwa, sebaliknya rakyat jelata yang mempunyai video yang tidak bermoral itu didakwa.

Tambah beliau lagi, menjelang pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April ini, akan ada banyak lagi lakonan drama yang akan dipentaskan oleh pihak lawan.

“Isu yang terhangat dimainkan oleh pihak lawan ialah pelakon yang membawa watak dalam video lucah yang didakwa membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pelik dan amat aneh, kenapa video yang tidak bermoral itu boleh dinyatakan sebagai tulen.

“Kenapa tiada tangkapan yang dibuat oleh pihak berkuasa terhadap pengedar video lucah yang didakwa tersebar ke internet dan menayangkannya secara terbuka.

“Inilah keadilan yang telah dicemari oleh kuasa penyelewengan dalam sistem pentadbiran dan kehakiman negara.” Katanya semasa ceramah isu semasa di Kampung Keladi, dekat Kulim baru-baru ini.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, sepatutnya tangkapan dibuat keatas mereka yang terlibat dengan gejala rasuah dalam negara mestilah bersikap telus dan berintegiriti.

“Jangan hanya tangkapan dibuat ke atas ‘bilis-bilis’ kecil sahaja sedangkan ‘jerung-jerung’ yang besar dibiarkan bermaharaja lela.

“Yang kecil-kecil melibatkan rasuah sebanyak RM2000 seperti mana yang didakwa ke atas ADUN Lenggeng yang menjadi mangsa kepada percaturan UMNO dan BN. Manakala ‘jerung-jerung’ yang besar melibatkan skandal jutaan dan bilion ringgit dibiarkan bebas secara berleluasa.

“Tangkapan yang dibuat ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim, hanyalah satu muslihat yang cuba dimainkan pihak lawan menjelang pilihan raya negeri Serawak yang akan datang tidak lama lagi.

“Inilah sikap sebenar BN yang cuba mengelirukan pemikiran rakyat. Menurut anggapan mereka, dengan pendakwaan terpilih itu rakyat akan percaya bahawa rasuah sedang dibanteras.

“Kenapa individu yang menghilangkan wang rakyat sebanyak RM50 billion tidak diambil sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.

“Manakah tidaknya, yang terlibat dalam penyelewangan ini adalah kroni-kroni dan suku-sakat kepada kepimpinan UMNO dan BN.” Katanya.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.